SHAH ALAM: Lebih 300 orang wakil dan penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN) dan badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada kerajaan Selangor bagi membantah aktiviti perlombongan pasir tidak terkawal di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Memorandum itu secara bersama disampaikan oleh Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Ghazali, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Pengerusi Perkasa Selangor, Abdullah Mansor kepada Azman Abidin, Setiausaha Eksekutif Menteri Besar, pada 11.30 pagi di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Khamis.
Ketika ditemui pemberita, Suhaimi berkata memorandum tiga muka surat itu antara lain mendesak kerajaan negeri membatalkan permit pengeluaran pasir di tanah kerajaan negeri dan persendirian yang melanggar syarat-syarat kelulusan termasuk permit kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), jika didapati berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
"Kita juga mahu kerajaan negeri menerbitkan kertas putih mengenai masalah pengurusan dan operasi industri pasir di Selangor termasuk operasi KSSB. Satu jawatankuasa bertindak yang bertanggungjawab dalam program pemulihan lombong-lombong pasir di Selangor juga perlu ditubuhkan segera," katanya.
Terdahulu, anggota-anggota parti komponen BN dan NGO itu berarak membawa memorandum itu dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke Bangunan SUK sejauh 1.5 kilometer.
Mereka turut melaungkan slogan berbunyi "Hidup Rakyat, Hancur PKR", "PKR perompak pasir" dalam perhimpunan itu yang dikawal ketat oleh 60 pegawai dan anggota polis. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan