Empat program bantu usahawan
Sinar Harian
DENGKIL – Empat program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu usahawan di negeri ini dijangka dapat meningkatkan industri perniagaan yang diceburi dan menggelakkan berlakunya kerugian.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, program ini melibatkan mereka yang baru menunjukkan minat untuk menjadi usahawan dan juga usahawan yang sedia ada di negeri ini.
“Bagi mereka yang belum berniaga, mereka perlu menyertai seminar sehari yang dinamakan Program Pembudayaan Keusahawanan (PPK),” katanya sewaktu ditemui selepas merasmikan Majlis Gotong-royong, Hari Keluarga dan Sukaneka, Taman Dengkil Jaya, di sini semalam.
Beliau berkata, mereka yang menyertainya akan diberi pendedahan dan motivasi mengenai keusahawanan serta diberi ujian psikologi.
“Mereka yang berjaya dalam ujian ini akan dibawa ke Program Pembangunan Usahawan (LPU) selama seminggu dan bagi yang gagal akan diberi projek perniagaan kecil-kecilan.
Menurut Yaakob lagi, pada program tersebut, mereka perlu mengenal pasti bidang perniagaan yang diminati dan perlu mengikuti program mentor mentee selama enam bulan hingga setahun sebelum mereka yang berjaya diberi tunjuk ajar.
“Program-program ini dilakukan dalam jangka masa yang panjang bagi mengurangkan kelemahan yang ada pada bakal usahawan kerana berdasarkan pengalaman kita, ramai yang gagal berniaga dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, mereka yang dilatih ini akan dilepaskan secara perlahan-lahan untuk menguruskan perniagaan mereka.
Beliau berkata, bagi mereka yang sudah bergelar usahawan pula, terdapat program yang disediakan untuk meningkatkan perniagaan mereka dengan memberi pelbagai kursus kemahiran seperti kursus pengurusan, pemasaran dan perakaunan.
“Bagi usahawan yang sudah berjaya ke peringkat global, kerajaan negeri akan membantu mereka meningkatkan perusahaan dengan mencari peluang pasaran yang lebih luas dan menjadikannya berstandard antarabangsa.
“Kerajaan negeri juga akan menyediakan jaringan kepada industri kecil yang ada dengan pasaran bagi meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yaakob berkata, ‘Ops Statik’ yang dilancarkan pada 23 Julai lalu bagi mengekang kes kecurian pasir di negeri ini berjaya mencapai objektif yang diharapkan.
“Laporan yang diperoleh amat menggalakkan dan aktiviti mencuri pasir didapati menurun dengan banyak,” katanya.
Beliau juga berkata, pengawalan kes kecurian pasir ini hanya dapat dibendung sekiranya amalan rasuah tidak berlaku dan ‘Ops Statik’ yang dilancarkan adalah bertujuan bagi mengawal aktiviti ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan