Isnin, 15 Oktober 2018

Asakan MCA bukti usaha terancang perlekeh Islam

Oleh Siti Fatimah Ishak

Pengerusi wanita parti perkauman biadab campur urusan Mahkamah Syariah umat Islam



BANGI – Dakwaan kononnya hukuman sebat syariah menzalimi kaum wanita, jelas memperlihatkan kejahilan pemimpin parti perkauman MCA, yang cuba mencampuri hal ehwal umat Islam, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Sebelum ini, Pengerusi Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, mempertikai tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengenakan hukuman sebat terhadap wanita di khalayak, dan menyifatkannya mencabar Perlembagaan.

Dr Zainur yang juga Pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) swasta berkata, selama ini umat Islam tidak menyentuh isu rakyat Malaysia yang bukan Islam.

“Tapi mereka kalau urusan umat Islam cepat sahaja melatah. Ini membuktikan pemimpin MCA bersifat biadab.

“Asakan demi asakan terhadap undang-undang syariah oleh MCA, DAP, NGO HAM dan pemimpin pro-liberal Barat juga membuktikan usaha jahat mereka yang terancang untuk memperlekehkan kedudukan Islam di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Heng yang menganggap hukuman secara terbuka kepada wanita mencabar Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Prosedur Jenayah.

Heng yang juga penganut agama Buddha berkata, menyebat wanita di depan khalayak bukan sahaja perbuatan yang sangat kejam terhadap kemanusiaan, ia juga dengan jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Dia mengulangi pendirian kumpulan Sisters in Islam bahawa hukuman sebat di depan khalayak tidak memberi apa-apa kesan pendidikan, menghina dan mengaibkan hak asasi manusia.

Mengulas lanjut Dr Zainur berkata, pemimpin MCA sepatutnya faham dan jelas bahawa Islam adalah agama Persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Katanyaz pelaksanaan hukuman sebat yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah Terengganu adalah keputusan yang sah dan termaktub dalam Perlembagaan

“Hukuman sebat syariah bersifat mendidik dan tidak mencederakan. Ini berbeza dengan hukuman sebat undang-undang sivil yang juga boleh di kepada kaum wanita,” katanya.

Justeru, beliau menggesa umat Islam samada ahli akademik, alim ulama, aktivis NGO, pemimpin masyarakat serta pemimpin politik bersatu padu dalam apa jua urusan umat Islam.

“Kita mesti bersatu dalam agenda bersama demi memperkasakan kedudukan Islam dan masa depan umatnya di negara Malaysia yang tercinta,” katanya.


Tiada ulasan: