Isnin, 15 Oktober 2018

Diam kamu! Kata Ridhuan Tee kepada ketua Wanita MCA

Oleh Siti Fatimah Ishak

Usah campuri urusan umat Islam, fokus masalah parti yang kalah teruk



BANGI – “Diam, Heng. Kamu siapa mahu campuri urusan umat Islam. Kamu bukan pakar, jauh sekali golongan agamawan. Lebih baik tutup mulut.”

Demikian bidas Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah terhadap Pengerusi Wanita parti perkauman MCA, Heng Seai Kie, yang mempertikai tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengenakan hukuman sebat terhadap wanita di khalayak.

Pendakwah bebas yang juga Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, urusan Mahkamah Syariah bukan parti politik seperti MCA, dan bukan juga urusan orang bukan Islam untuk menjaganya.

“Ini urusan umat Islam. Heng tiada hak untuk campur tangan. Lagipun siapa kamu? Ini urusan mahkamah untuk orang Islam. Jika tak setuju, tutup mulut. Kamu tak ada kuasa ke atasnya.

“Saya fikir lebih baik kamu (Heng) memberi kenyataan mengenai layanan komunis terhadap etnik Uighur di China. Itu lebih bermanfaat daripada menyakiti orang Islam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Heng yang menganggap hukuman secara terbuka kepada wanita mencabar Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Prosedur Jenayah.

Heng yang juga penganut agama Buddha berkata, menyebat wanita di depan khalayak bukan sahaja perbuatan yang sangat kejam terhadap kemanusiaan, ia juga dengan jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Dia mengulangi pendirian kumpulan Sisters in Islam bahawa hukuman sebat di depan khalayak tidak memberi apa-apa kesan pendidikan, menghina dan mengaibkan hak asasi manusia.

Ridhuan Tee berkata, Mahkamah Tinggi Syariah tidak perlukan pandangan orang jahil seperti Heng.

Katanya, pelaksanaan undang-undang sebat telah difikir sedalam-dalamnya oleh pihak berkuasa syariah yang lebih memahaminya berbanding Heng.

“Heng bukan siapa siapa, pakar pun tidak. Kamu hanya parti kalah yang menang satu kerusi Parlimen. Itupun ehsan daripada undi Melayu. Jika tidak, MCA sudah tentu berputih mata.

“Saya nasihatkan kamu fokus kepada parti MCA yang kalah teruk PRU14 lalu. Saya bimbang PRU15 nanti satu kerusi pun MCA tak dapat. Melopong saja,” katanya.


Tiada ulasan: