Jumaat, 17 Ogos 2018

NOR HIZWAN HANYA BUDAK HINGUSAN – ABDULLAH SANI

Wartawan Watan-Online




Ahli Majlis Tertinggi PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan Setiausaha Politik kepada Zuraida, Nor Hizwan Ahmad sebagai `budak hingusan’ serta tidak layak mencampuri urusan dalaman parti.

Beliau berkata, Nor Hizwan diibaratkan sebagai `pak turut’ yang tidak tahu apa-apa mengenai politik, apatah lagi perit jerih gerakan reformasi dalam PKR.

“Saya kenal siapa Zuraida, kamu (Hazwan) baru lahir dan dia tidak tahu apa-apa. Jadi saya tidak akan memohon maaf berhubung kenyataan saya terhadap Zuraida atau Azmin (Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali).

“Saya bercakap secara rasional dan jangan takut cakap benda yang betul. Adalah lebih kamu diam. Reformasi dalam PKR perlu terus dilakukan secara berterusan,” katanya kepada Watan Online pada Khamis.

Beliau mengulas gesaan Nor Hizwan yang menyifatkan tindakan Abdullah Sani mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah kepada Zuraida sebagai melampau dan tidak bertanggungjawab.

Nor Hizwan berkata, Abdullah Sani perlu segera memohon maaf kepada semua ‘mangsa’ fitnahnya termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohamed Azmin.

Sebelum ini, Abdullah Sani yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKR mendakwa Zuraida telah menggunakan pengikutnya mengugut isteri beliau serta memiliki bukti termasuk dalam bentuk pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan ugutan tersebut.

Selain itu, beliau turut mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mendalangi konspirasi untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.

Beliau mendakwa Mohamed Azmin turut bekerjasama dengan Daim bagi menghentikan peralihan kuasa yang dipersetujui oleh PH sebelum ini.

Tiada ulasan: