Selasa, 15 Mac 2016

Wartawan luar negara perlu patuhi etika kewartawanan Malaysia - Nur Jazlan

 Oleh Nur Atiqah Samad

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Wartawan luar negara perlu memahami dan mengikut undang-undang yang ditetapkan kerajaan Malaysia bersabit peraturan dan etika kewartawanan semasa menjalankan tugas.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan, tindakan dua wartawan Australia berkenaan melanggar Akta Imigresen, yang menetapkan mereka perlu mendapatkan permit kerja sebagai wartawan di Sabah dan Sarawak.  
 
"Wartawan luar negara kena faham undang-undang Malaysia, ada perbezaan antara undang-undang Persekutuan dengan undang-undang di Sabah dan Sarawak. 
 
"Di mana mereka tak boleh sesuka hati dan membuat andaian dalam melakukan kerja mereka tanpa mengetahui peraturan yang ditetapkan kerajaan untuk Sabah dan Sarawak terutama sekali berkaitan imigresen.
 
"Pihak keselamatan tak tahu dua wartawan ini yang tiba-tiba masuk dan tanya soalan dan mereka tak ada permit kerja sebagai wartawan di Sarawak," katanya kepada media ketika ditemui di Lobi Parlimen.
 
Wartawan Australia Broadcasting orporation (ABC) Linton Besser dan jurukamera Loiue Eroglu dihantar pulang pagi tadi selepas cuba menghalang tugas penjawat awam Sabtu lalu.
 
Menurut Jazlan lagi dua wartawan itu didapati melanggar Akta Imigresen dan tidak dikenakan dakwaan lain.
 
"Kita dah hantar dua wartawan itu balik pagi tadi. Mereka didapati melanggar Akta Imigresen.
 
"Akta Imigresen secara jelas menyatakan boleh melarang kemasukan atau mengusir sesiapa yang melanggar peraturan itu," jelas beliau.  
 
Malah ujarnya, kedua mereka boleh datang semula ke Sarawak sebagai pelancong namun sekiranya ingin memasuki negeri itu sebagai wartawan, mereka perlu memohon permit pekerja daripada kerajaan negeri.   
 
Dua wartawan itu pada Sabtu lalu ditahan polis selepas melepasi halangan keselamatan ketika cuba bertanyakan soalan kepada Najib yang ketika itu dalam lawatan rasmi ke Kampung Haji Baki di Kuching.
 
Kedua mereka ditahan tengah malam sabtu dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
 
Tambah Jazlan lagi, tangkapan ini tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia.
 
 

Tiada ulasan: