Ahad, 13 Mac 2016

Usul ketepi gambar Najib di Univ Nottingham lulus untuk dibahas

Malaysiakini (BM Version)


 
Persatuan Nottingham Malaysia meluluskan usul membahaskan langkah mengetepikan sebarang kaitan antara Datuk Seri Najib Razak dengan Universiti Nottingham (UK) dalam mesyuarat agung tahunan mereka 16 Mac ini.
 
Dalam satu kenyataan hari ini, ahli jawatankuasa persatuan berkenaan memberi reaksi kepada usul dicadangkan anggota mereka, Cassandra Chung.
 
Chung sebelum ini memulakan petisyen di change.org agar Universiti Nottingham di United Kingdom menurunkan poster Najib kerana dikaitkan dengan isu derma bernilai RM2.6 bilion.
 
"Jawatankuasa mengambil pendirian bahawa usul tersebut perlu diputuskan semasa perbahasan, dan oleh itu jawatankuasa menyeru kepada semua ahli memberi perhatian kepada notis ini dan menghadiri mesyuarat agung tahunan bagi mengundi perkara ini.
 
"Kita tidak menyatakan bersetuju atau tidak bersetuju dengan tindakan Cassandra (Chung). 
 
"Kami juga mengambil kesempatan untuk mengatakan bahawa kami menentang sebarang ancaman keganasan sama ada terhadap beliau atau keluarganya dan ingin menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya berfikir secara rasional ebelum membuat sebarang keputusan," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
 
Sebelum ini Chung dilaporkan menyangka petisyen berkenaan hanya akan mendapat sokongan kira-kira 100 tandatangan.
 
Bagaimanapun dalam tempoh tiga hari petisyen penuntut undang-undang Universiti Nottingham itu menerima hampir 4,000 tandatangan menyokong usul menurunkan gambar Najib dikemukakan kepada persatuan tersebut.
 
Mengulas lanjut, jawatankuasa persatuan itu menegaskan mereka tidak akan mengambil tindakan memihak dalam pengendalian kes itu.
 
"Jawatankuasa ini ingin menegaskan bahawa kami akan kekal tidak berat sebelah dalam pengendalian isu ini.
 
"Dengan itu, kami diwajibkan untuk membenarkan usul itu dibahaskan semasa AGM (mesyuarat agung tahunan) kita pada 16 Mac 2016. 
 
"Kami tidak akan mengulas lanjut mengenai utiliti usul itu," katanya.
 
Sementara itu, Persatuan Nottingham Malaysia dilaporkan berkata mereka tidak terlibat langsung mencadangkan usul atau petisyen tersebut dan Chung bebas daripada sebarang hubungan dengan mana-mana parti politik.
 
"Kenyataan beliau dalam petisyen itu adalah melambangkan perlunya akauntabiliti di pihak perdana menteri sebagai tokoh mewakili rakyat sesebuah negara," kata jawatankuasa itu.
 
 

Tiada ulasan: