Rabu, 23 Mac 2016

Usaha jatuhkan MB oleh Umno bonus kepada Pas

Ahmad Razif Abd Rahman
Ahmad Razif Abd Rahman
 
 
KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu tidak menafikan tindakan pihak tertentu yang terburu-buru menjatuhkan kerajaan negeri ini melalui kaedah selain pilihan raya, akan memberi kelebihan kepada parti itu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, walaupun pihaknya tidak mencampuri urusan pihak tertentu yang secara terang-terangan mahu menjatuhkan kerajaan BN negeri ini, namun pihaknya tidak boleh menolak bahawa ia sudah tentu memberi bonus kepada Pas.

“Kalau ada strategi lain yang difikirkan ahli Umno sendiri untuk menjatuhkan kerajaan BN, ia sudah tentu bonus kepada kita. Bagaimanapun, kita tidak akan mencampuri perbalahan dalaman parti itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, rakyat sudah tentu akan menilai kelemahan di peringkat dalaman Umno dan BN negeri melalui tindakan tersebut dan percaya perancangan untuk menjatuhkan Ahmad Razif tidak akan berakhir begitu sahaja.

Sementara itu, mengulas mengenai usul undi tidak percaya, beliau memberitahu bahawa ia adalah sejarah pertama yang berlaku di negeri ini, sekiranya usul tersebut diluluskan.

Ini kerana katanya, belum pernah ada undi tidak percaya kepada menteri besar dari BN sambil memberitahu bahawa sejarah pada 1961 adalah undi tidak percaya terhadap menteri besar dari Pas apabila tiga Adun pembangkang memberi sokongan kepada BN dan membentangkan undi tidak percaya terhadap kerajaan Pas.

“Belum ada sejarah undi tidak percaya dari (ahli) Umno kepada Umno. Kalau berlaku, ia adalah sejarah pertama di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu suasana politik ketika ini lebih kepada persepsi, lebih-lebih lagi apabila perkembangan media sosial lebih mendapat tempat di kalangan masyarakat ketika ini.

Tidak terkecuali politik Terengganu katanya, apa sahaja isu yang menarik perhatian rakyat sudah tentu akan menjadi ‘mangsa’ persepsi pengundi termasuk perbalahan yang dilihat semakin menebal antara Ahmad Razif dan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said.

“Politik tidak boleh lari daripada persepsi, kedudukan menteri besar akan rapuh sekiranya ada yang buat ‘onar’ lagi,” katanya.

Tiada ulasan: