Jumaat, 4 Mac 2016

'Tan Sri masih kawan dengan Najib tak?'

Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR - Suasana sidang media bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diadakan selepas penggantungan jawatannya bertukar gamat seketika apabila beliau diajukan satu soalan.

"Tan Sri, masih kawan dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tak?" tanya seorang wakil media.

Muhyiddin kelihatan hanya tersenyum lebar sambil memandang wakil media yang mengajukan soalan tersebut tanpa berkata apa-apa.

Beliau kemudiannya ditanya soalan tentang kemungkinan adanya mana-mana pemimpin kerajaan dan parti yang bertemunya mengadu tentang isu melibatkan Perdana Menteri itu.

"Ini bukan sesuatu yang luar biasa. Sewaktu saya dalam kerajaan pun beberapa pemimpin dalam parti dan kerajaan berjumpa dengan saya kerana saya orang nombor dua dalam parti.

"Yang menyentuh soal kepimpinan negara, menyentuh soal Datuk Seri Najib, masalah isteri beliau dan lain-lain," katanya.

Dakwanya, banyak pemimpin yang mengadu kepadanya itu disarankan mengatur usaha bertemu dengan Najib dan menegur Presiden Umno itu supaya segala kepincangan dapat dibetulkan, namun katanya, mereka tidak berani berbuat demikian.

Malah katanya, beliau menerima keadaan apabila terpaksa membayar tindakannya mengkritik kepimpinan Najib.

"Sekarang ini mereka bantai sayalah. Tak apa. Kalau saya sebut, nanti mereka malu. Nanti mereka dipanggil Presiden 'kenapa kamu buat begitu?' dan menanggung nasib yang sama seperti saya.

"Tak apa lah mereka duduk bersenang lenang...saya dipecat. Tak apa," katanya sambil tersenyum.

Gara-gara lantang mengkritik pentadbiran Najib, Muhyiddin akhirnya digugurkan dari Kabinet ketika rombakan tahun lalu dan digantung serta merta dari jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno, minggu lalu.


Tiada ulasan: