Isnin, 14 Mac 2016

Tahan wartawan Australia, calar imej negara

Tahan wartawan Australia, calar imej negara
Guan Eng (kiri) pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN.


KUALA LUMPUR – Penahanan wartawan dan jurukamera dari saluran berita Australia ABC oleh polis di Kuching, Sarawak pada Ahad telah mencalarkan imej Malaysia kerana kebebasan media semakin terhakis di negara ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penahanan dua petugas media antarabangsa itu kerana mahu bertanya tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan ada sesuatu cuba diselindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pengetahuan umum.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula tindakan ini untuk membuktikan tiada apa yang perlu ditakuti atau sesuatu diselindungi. Tiada penjelasan mengenainya, kerana wartawan Australia ini bukan ancaman Perdana Menteri, melainkan mereka ini mempunyai hubung kait dengan IS.

“Walaupun pihak berkuasa mendakwa mereka cuba menghalang Perdana Menteri, namun tiada keperluan untuk menahan mereka sehingga enam jam,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden dua petugas media dari Australia Broadcasting Corporation (ABC) yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemubual Perdana Menteri di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, Padawan, Kuching, Sarawak pada semalam.

Bagaimanapun kedua-dua individu terbabit dibebaskan pagi Isnin lalu dengan jaminan polis dan perlu berada di negeri itu, sementara siasatan dilakukan.

Mengulas lanjut isu pelantikan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Guan Eng pula berkata menggesa kerajaan melantik pengganti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dengan seorang calon yang tidak mempunyai hubungan dan hubung kait dengan skandal 1MDB.

“Mana-mana lantikan itu, kalau ia bersangkutan dengan 1MDB, ia tidak boleh memulihkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan rakyat bahkan pelabur asing.

“Kami menggesa kerajaan, jika kamu mahu melantik gabenor baharu, pastikan dia mempunyai rekod bersih daripada 1MDB, tiada hubung kait, tiada hubungan dan pembabitan dalam skandal 1MDB atau dilihat sebagai boneka kepada kerajaan,” katanya lagi.


Tiada ulasan: