Rabu, 16 Mac 2016

Syed Hassan dakwa Umno hasut ahlinya keluar PERKASA

Anne Muhammad

 


Pertubuhan pendesak Melayu, PERKASA mendakwa pemimpin Umno menghasut ahlinya supaya keluar daripada NGO itu berikutan tindakan penaungnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terbabit dengan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil.

Katanya berikutan hasutan berkenaan minggu lalu, seramai sembilan ahli PERKASA dari Pengkalan Chepa dan 27 dari cawangan Kapar bertindak mematahkan kad keahlian mereka.

“Beberapa pengerusi parlimen PERKASA memaklumkan kepada Presiden Datuk Ibrahim Ali bahawa mereka di pujuk oleh pimpinan Umno untuk bubarkan PERKASA di parlimen masing-masing...

“Saya percaya masih ramai pengerusi-pengerusi PERKASA parlimen dipujuk supaya PERKASA di parlimen itu dibubarkan,” katanya.

Justeru, Syed Hassan memberi amaran kepada pemimpin Umno yang cuba memecahbelahkan PERKASA supaya tidak berbuat demikian kerana ia ibarat menjolok sarang tebuan.

“PERKASA beri amaran kepada pemimpin Umno yang anti PERKASA, jangan cuba jolok sarang tebuan lagi. Jangan sampai ahli-ahli Umno dalam PERKASA hilang sabar.

“Jangan sampai pimpinan PERKASA tidak mampu nak halang mereka keluar Umno dan potong kad ahli Umno mereka. Kalau gerakan ahli Umno dalam PERKASA lakukannya, boleh penuh satu bonet kereta kad ahli Umno yang dipotong.

“Jangan cabar mereka, PERKASA tidak rugi apa-apa. Jangan sampai BN menanggung rugi kalau mereka hilang sabar,” tegasnya.

Sementara itu, Syed Hassan menyeru supaya ahli PERKASA yang ingin keluar Umno supaya tidak mematahkan kad keahliannya sebaliknya jika benar-benar mahu keluar parti Melayu itu, mereka perlu mengikut saluran yang betul.

“Janganlah patahkan kad keahlian Umno melalui sidang media. Kalau nak keluar parti pergi sendiri ke Pejabat Umno dan serahkan borang itu.

“Umno pun ada sumbangan kepada kita, nak keluar parti biarlah dengan cara yang baik,” katanya.

Pada majlis Deklarasi Rakyat bagi ‘Selamatkan Malaysia’ - Mahathir bersama sekutu Umno dan juga pemimpin pembangkang - memeterai deklarasi yang menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Antara yang menandatanganinya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Hadir sama adalah bekas menteri Umno, Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.


Tiada ulasan: