Isnin, 21 Mac 2016

SPRM tidak boleh ambil keterangan Guan Eng minggu ini

 
Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan membuat lawatan rasmi ke Hainan, China minggu ini dan hanya boleh dihubungi minggu depan


KE_Wong_Hon_Wa-,-lim-guan-eng100


PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hanya boleh dihubungi dan diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu hadapan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai memberitahu bahawa pada minggu ini, Guan Eng akan mengadakan lawatan rasmi ke Hainan, China.

Namun begitu, Hon Wai berkata beliau mendapat arahan daripada Guan Eng meminta supaya SPRM menyegerakan siasatan ke atas pembelian banglo miliknya di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah yang dimaksudkan untuk projek rumah kos rendah di Taman Manggis.

Jelas Hon Wai lagi, beliau juga mendapat arahan daripada Guan Eng yang meminta supaya SPRM menyegerakan siasatan ke atas tuduhan rasuah palsu berhubung penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis serta pembelian rumah oleh Ketua Menteri itu.

“Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengalu-alukan siasatan yang dijalankan agar dapat membuktikan bahawa beliau menjalankan pentadbiran bersih sehingga kerajaan negeri Pulau Pinang dipuji oleh Transparency International.

“Ketua Menteri akan memberikan kerjasama penuh ke atas siasatan SPRM ini dan ingin meminta ia disegerakan agar dapat membuktikan tuduhan rasuah ke atas YAB (Yang Amat Berhormat) Ketua Menteri adalah tidak berasas dan palsu.

Hon Wai memaklumkan SPRM bahawa majikannya beranggapan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu bertujuan untuk mencemar nama baiknya.

“Isu penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis, yang dijalankan secara tender terbuka bukanlah isu baru, dan pernah dicanang-canangkan oleh parti lawan sebelum dan semasa pilihanraya umum 2013,” ujarnya.

Sementara itu, Hon Wai turut telah diarahkan oleh Guan Eng untuk merujuk kepada kenyataan SPRM Pulau Pinang bahawa SPRM telah melakukan siasatan ke atas Ketua Menteri itu sejak beliau mula menyewa rumahnya di Pinhorn Road pada 2009, sebelum membelinya pada 2015.

“Ketua Menteri ingin tahu hasil siasatan SPRM yang telahpun dijalankan begitu lama samada secara rasmi menerusi surat ataupun melalui pengumuman SPRM melalui media massa,” kata beliau lagi.

Guan Eng ketika ditemui di Dewan Rakyat turut menzahirkan rasa kecewanya terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya.

Ia ekoran keengganan Shabudin minum kopi bersamanya selain memperjelaskan bukti mengenai isu pembelian sebuah rumah dan penjualan tanah negeri di Taman Manggis kepada pemaju swasta.

Tiada ulasan: