Jumaat, 4 Mac 2016

Sekat The Malaysian Insider demi “kestabilan negara”: Wisma Putra jadikan Malaysia bahan ketawa dunia

Lim Kit Siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Malaysia kini menjadi bahan ketawa peringkat antarabangsa berikutan kenyataan tidak matang Wisma Putra semalam bahawa kerajaan terpaksa “menutup” portal berita The Malaysian Insider demi menjaga “keamanan, kestabilan dan keharmonian negara”.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata kenyataan Wisma Putra itu merupakan salah satu kenyataan paling bodoh pernah dikeluarkan atas nama kerajaan Malaysia dalam sejarah 59 tahun negara merdeka.

“Adakah tahap intelek ‘pembesar’ dalam perkhidmatan awam sudah menjadi begitu terhad dan cetek sehingga kenyataan seperti itu boleh dikeluarkan atas nama kerajaan Malaysia?

“Adakah Wisma Putra benar-benar percaya TMI wajar disekat bagi menjamin keamanan negara, kononnya untuk melindungi amalan, nilai dan budaya pelbagai kaum di negara ini seperti didakwa mereka?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra semalam selepas dikritik oleh kerajaan Amerika Syarikat yang melahirkan rasa bimbang dengan sikap kerajaan Malaysia terhadap kebebasan bersuara.

White House Amerika bimbang dengan sekatan akses kepada laporan tempatan dan antarabangsa mengenai hal ehwal negara.

Selain itu, jurucakap Jabatan Negara AS. John Kirkby, turut menyeru agar undang-undang yang menghormati kebebasan bersuara, termasuk pengaliran idea secara bebas di internet dilaksana dan diraikan oleh kerajaan Malaysia.

Menyifatkan alasan Wisma Putra sebagai tidak masuk akal, Kit Siang berkata, rakyat Malaysia ingin tahu siapa di kalangan Menteri yang percaya dan bersetuju dengan kenyataan itu.

“Sejak bila semangat memerangi rasuah dan skandal kewangan seperti skandal mega berkembar Perdana Menteri menjejaskan ‘keamanan, kestabilan dan keharmonian’ negara atau membawa kesan buruk kepada ‘amalan dan nilai budaya pelbagai kaum’ di Malaysia?

“Sebaliknya, semua agama, budaya dan tamadun mendukung nilai dan cara kehidupan yang bersih, jujur​​, beretika dan tanpa rasuah,” katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoal sama ada kerajaan Malaysia masih berpegang kepada Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ditandatangani 20 tahun lalu yang menjanjikan tiada penapisan di internet.

“Adakah kini kesemua 10 jaminan itu dianggap seperti helaian kertas tidak bernilai oleh kerajaan Malaysia?” soal beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: