Khamis, 17 Mac 2016

Rebel Umno cabar Tengku Adnan dan Nazri berdebat

MALAYSIA DATELINE


Tengku Adnan (kanan) dan  Nazri (kiri) dicabar oleh rebel Umno GKCM untuk berdebat.Tengku Adnan (kanan) dan Nazri (kiri) dicabar oleh rebel Umno GKCM untuk berdebat.Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mencabar dua pemimpin Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Nazri Aziz untuk berdebat.

Setiausaha GKCM, Azhar Daeng berkata, debat perlu diadakan bagi menghuraikan kemelut kepemimpinan yang wujud dalam Umno ketika ini.

“Umno perlu membuka pintu perubahan dan pembaharuan ke arah memastikan bahawa ia kekal sebagai sebuah parti politik yang relevan dalam era ‘dunia tanpa sempadan’ sekarang.

“Adalah malang sekiranya Umno dibiarkan berada dalam keadaan penafian yang tiada kelibat penghujungnya dan akhirnya memperlihatkan ia sebagai sebuah parti politik yang dipenuhi dengan barisan pemimpin yang jumud pemikirannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar Azhar lagi, tajuk yang dicadangkan untuk dua pemimpin itu ‘Umno memerlukan perubahan kepimpinan’ sebagai tajuk debat.

“Kami begitu teruja sekiranya Umno dapat menyenaraikan dua orang pemimpin tertingginya untuk berdebat dengan kami. Dua orang ini adalah Datuk Seri Nazri Aziz dan Tengku Adnan sendiri.

“Kami berharap bahawa dua pemimpin ini tidak akan menolak pelawaan untuk perdebatan atau forum ini sesuai dengan dakwaan bahawa mereka ini adalah pahlawan dan jaguh Umno,” katanya lagi.

Malah katanya, Umno perlu bergerak selari dengan peredaran zaman yang mana hari ini debat/forum sering digunakan di seluruh pelusuk dunia bagi membincangkan isu yang mempunyai  kepentingan terhadap negara.

Sebagai rekod pada Februari lalu GKCM pernah menerusi Pengerusinya Kamarulazman Habibur Rahman telah mencabar Tengku Adnan untuk berdebat dalam satu majlis gerakan itu yang diadakan di Port Dickson yang turut dihadiri Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Tengku Adnan tidak memberikan sebarang respon mengenai cabaran GKCM itu.

Tiada ulasan: