Sabtu, 5 Mac 2016

Polis masih belum bayar ganti rugi RM23,000 – Fahmi Reza

 
Polis memberi alasan bahawa bayaran itu sepatutnya dibuat oleh Kementerian Kewangan.


Fahmi reza


PETALING JAYA: Aktivis Fahmi Reza mendakwa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih belum membayar ganti rugi kepadanya kerana menahan secara tidak sah pada tahun 2012.

Katanya, ganti rugi itu sepatutnya sudah diterima pada tahun lepas setelah Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Nordin memerintahkan polis untuk membayar RM23,000 kepadanya.

“Saya masih belum terima lagi wang ganti rugi itu. Sepatutnya polis perlu membayar RM3,000 ganti rugi am, RM10,000 ganti rugi teladan dan RM10,000 kos mahkamah yang kesemuanya berjumlah RM23,000.

“Polis memberi alasan bahawa bukan pihaknya yang bayar tetapi pihak Kementerian Kewangan yang perlu bayar. Saya masih menunggu cek daripada polis yang saya percaya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

“Sekarang ini yang lambat bayar bukan pihak polis tetapi pihak Kementerian Kewangan,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata dia telah menyerahkan kepada pihak peguamnya untuk meminta Kementerian Kewangan mempercepatkan pembayaran ganti rugi itu.

“Sekarang ini peguam saya telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta ganti rugi tersebut,” katanya yang kecewa dengan sikap melengah-lengahkan pembayaran itu.

Sebelum ini Fahmi Reza, mendakwa PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperintah membayar ganti rugi kepada beliau kerana menahannya secara tidak sah pada 2012.

Surat berkenaan memaklumkan bahawa pihak DBKL dan polis dikehendaki membayar pampasan berjumlah RM38,000 kepada Fahmi, iaitu masing-masing RM8,000 kerana penahanan salah dan RM30,000 sebagai ganti rugi teladan.

Tiada ulasan: