Khamis, 24 Mac 2016

PLUS perlu fikirkan pelanggan, bukan keuntungan

Oleh Asohan B


Jika anda membuat tuntutan kerosakan kenderaan disebabkan kecuaian PLUS (contohnya, akibat terlanggar objek di lebuh raya), PLUS dikatakan hanya membayar 50% daripada nilai tuntutan.
 
 
 
plus-highway 



Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan dan beberapa lebuh raya lain di bawah seliaan PLUS sedang mempertimbangkan kenaikan kadar tol seterusnya kerana ia adalah sesuatu yang dibolehkan oleh kerajaan setiap tiga tahun. Sekiranya saya seorang CEO, Ahli Lembaga Pengarah atau pegawai pengurusan kanan di syarikat PLUS Malaysia Berhad, saya akan berasa malu untuk bercakap mengenai kenaikan tol.

Ada beberapa sebab saya berkata demikian. Pertamanya, perkhidmatan yang diberikan adalah jauh daripada memuaskan. Jauh, saya ulangi, jauh daripada memuaskan. Pengguna lebuhraya PLUS mesti tahu betapa azabnya menggunakan lebuhraya ini pada setiap musim perayaan atau pada cuti panjang yang bersambung dengan hujung minggu.

Ramai di antara kita pasti pernah memandu dalam keadaan seolah-olah ‘merangkak-rangkak’ di lebuhraya terutamanya pada musim perayaan. Saya sendiri pernah membatalkan hasrat balik ke Kuala Lumpur kerana ia mengambil masa lima jam untuk sampai ke Ipoh daripada Bukit Merah. Akhirnya, saya tewas dalam kepenatan dan tekanan perasaan, lalu saya mencari hotel dan tidur di Ipoh sebelum menyambung perjalanan ke Kuala Lumpur esok paginya. Banyak kali juga, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa empat atau lima jam ke destinasi saya di utara, bertukar menjadi mimpi ngeri antara lapan hingga 10 jam.

Pernah alami kesukaran nak ke tandas semasa lebuh raya sesak? Mungkin berhenti di tepi jalan dan mencari semak adalah idea yang lebih munasabah. Begitu juga mencari tempat duduk untuk mengisi perut; beruntunglah mereka yang mendapat meja untuk duduk dan makan. Walau bagaimana sesak dan lewat pun, tol tetap pengguna bayar. Tidak kurang satu sen pun.

Ini belum cerita soal keselamatan. Betapa kerap kita lihat pengguna mengalami tayar pancit dan sebagainya. Kadang-kadang, beberapa kereta pancit sepanjang perjalanan. Kita semua tahu selalunya ini adalah kerja orang-orang yang tidak berhati perut yang membuang paku, tetapi persoalannya kenapa perkara ini berlaku? Jawabnya, pihak PLUS menutup sebelah mata dengan kehadiran tow-truck haram dan servis membaiki kereta haram di lebuh raya. Jika PLUS betul-betul bekerjasama dengan polis, pastilah mereka ini tidak berani beroperasi dan menjadi penyamun di siang hari. Lebih teruk, mereka ini setaraf dengan pembunuh.

Ingat baru-baru ini kes papan signboard yang terjatuh dan menghempap maut pemandu dan penumpang sebuah kereta? Ingat lagi kes tanah runtuh di Gua Tempurung dan beberapa tempat lain? Jangan salahkan alam, salahkan kejuruteraan PLUS sendiri. Belajarlah mengambil responsibility. Kalau di Jepun, mungkin CEOnya sudah hara-kiri kerana menjaga maruah.

Ada lagi. Ingat kes ibu yang menjemput anaknya pulang dari luar negara maut dalam perjalanan ke rumah setelah terlanggar seekor lembu dalam perjalanan dari KLIA ke Melaka? Bukankah ini kecuaian pihak PLUS? Baiknya masyarakat kita, tiada pihak yang menyaman PLUS. Apa gunanya papan tanda lembu di sepanjang lebuh raya itu? Supaya pemandu berhati-hati dengan kehadiran lembu? Adakah ia bermaksud kurangkan kelajuan disebabkan ada lembu di tepi lebuhraya? Bukankah had kelajuan biasanya 110km sejam? Jika kurangkan kelajuan ialah apa yang PLUS harapkan daripada pengguna, kenapa tidak turunkan sahaja hadlaju disebabkan ancaman daripada lembu. Kenapa mesti letak gambar lembu untuk mengelirukan pengguna? Sebenarnya penyelesaiannya ada – PLUS boleh menggunakan pagar yang lebih sesuai, dan bukan yang mudah dipotong dan tidak selamat hanya kerana mahu menjimatkan kos.

Pokok jati juga ditanam di kiri kanan lebuhraya yang sepatutnya dibiarkan kosong. Tahukah PLUS bahaya kehadiran pokok jati itu boleh meragut nyawa sekiranya pemandu terbabas? Apakah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tidak pernah menasihati PLUS mengenai perkara ini? Adakah wajar PLUS memikirkan pulangan kewangan maksima tanpa mengambil kira ancaman nyawa pengguna lebuhraya?

Walaupun sudah mengutip tol mencecah beratus billion ringgit sejak mula beroperasi, PLUS masih berdolak-dalih dalam menjamin keselamatan pengguna. Masih ingat pada tahun 2010 berhampiran persimpangan Pedas, Negeri Sembilan, di mana sebuah bas tersasar masuk laluan bertentangan dan mengakibatkan pelanggaran yang dahsyat dan membunuh 14 orang, mencederakan berpuluh-puluh orang yang lain? Kenapa kemalangan seteruk itu berlaku?

Jawapannya ialah kerana penghadang jalan yang digunakan itu tidak mampu menghalang kenderaan berat daripada terbabas.  Kejadian seperti itu bukanlah yang pertama atau terakhir, malah berlaku dari masa ke semasa.

Banyak lagi contoh kecuaian pengendali lebuhraya ini boleh diketengah apabila mereka gagal menjamin keselamatan pengguna. Bayangkan, sampai sekarang pun lebuhraya yang ‘termahal’ di dunia ini masih tidak berlampu pada waktu malam. Mahal sangatkah kos memasang lampu berbanding dengan kos kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat daripada kemalangan yang berlaku kerana gelap.

Mungkin PLUS boleh meminta MIROS atau pihak universiti membuat kajian mengenai ‘kos-faedah’ memasang lampu. Saya yakin, banyak nyawa dan harta benda dapat dielakkan kerana banyak kemalangan berlaku pada waktu malam ialah kerana pemandu tidak dapat melihat dengan jelas.

Paling menyedihkan, memandu di malam yang gelap menjadi lebih merbahaya apabila cat pembahagi lorong pun begitu samar-samar pudar kerana sudah lama tidak dicat semula. Kalau hujan, boleh dikatakan hampir tidak kelihatan, dan ini amat membahayakan.

Sebenarnya terlalu banyak isu mengenai kualiti perkhidmatan dan keselamatan lebuh raya yang boleh dibangkitkan. Seorang sahabat memberitahu, jika anda membuat tuntutan kerosakan kenderaan disebabkan kecuaian PLUS (contohnya, akibat terlanggar objek di lebuh raya), PLUS dikatakan hanya membayar 50% daripada nilai tuntutan. Kenapa begitu? Jika Lebuhraya Damansara – Puchong dan SPRINT membayar 100%, kenapa tidak PLUS? Sudahlah tuntutan mengambil masa yang lama sehingga bertahun lamanya.

Saya harap tulisan ini dapat membuka mata semua pengguna lebuh raya PLUS. Menentang kenaikan tol dengan menjerit-jerit di tepi jalan sahaja tidak membantu. Mereka akan tetap menaikkan tol kerana bagi mereka, wang adalah segalanya. Biarlah semua orang tahu inilah sebenarnya nasib pengguna apabila orang koperat mengendalikan kemudahan awam. Bagi mereka, wang adalah segalanya. Di manakah integriti? Mungkin ‘integriti’ yang perkataan yang sesuai dipinjam dalam program ‘CSR’ untuk menaikkan nama syarikat. Malulah!

*  Asohan B adalah pembaca FMT

Tiada ulasan: