Khamis, 17 Mac 2016

Pihak berkuasa tidak akan ganggu jika aman

Nur Jazlan
Nur Jazlan


KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa tidak akan mengganggu perjalanan himpunan tertutup 27 Mac ini yang dianjurkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sekiranya ia berlangsung secara aman.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau himpunan dan mengambil tindakan jika berlaku masalah.

“Jika mereka boleh berjanji untuk adakan demonstrasi dengan aman, tidak ada keperluan untuk menghentikannya.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat semula perkembangan tersebut sama ada perhimpunan itu sendiri mempunyai potensi untuk menyebabkan apa-apa masalah, terutama dari segi trafik atau kecederaan. Polis akan memantau dan jika mereka perlu mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Himpunan yang dinamakan sebagai Kongres Rakyat 2016 itu dijangka berlangsung di Shah Alam dengan kehadiran dianggarkan 1,000 orang.

Antara pemimpin yang akan menghadiri himpunan itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan turut meminta penganjur himpunan bertanggungjawab dan tidak mengganggu orang ramai.


“Jika penganjur mahu teruskan, mereka boleh lakukan kerana kita amalkan demonstrasi.
Mengambil contoh Himpunan Bersih, Nur Jazlan berkata, kerajaan mengumumkan perhimpunan itu haram, tetapi ruang masih diberikan kepada penganjur untuk teruskan rancangan mereka.
“Kami tidak mahu menghalang dan menyukarkan mana-mana pihak, tetapi penganjur perlu bertanggungjawab memastikan apa sahaja mereka lakukan  tidak menjadi satu usaha politik yang menyusahkan ramai pihak,” katanya.

Tiada ulasan: