Rabu, 23 Mac 2016

Pegawai KBS 'Songlap' RM100 Juta Digantung Tugas - KJ

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
Khairy Jamaludin
 
 
KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan penyelewengan dana kira-kira RM100 juta telah dipindahkan daripada kementerian itu.

Mengesahkan mengenai tindakan itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin berkata pihaknya juga sudah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya individu berkenaan digantung tugas sehingga siasatan selesai.

"Saya sudah minta Ketua Setiausaha Kementerian menulis kepada JPA supaya dia diberikan Perintah Tahan Kerja di bawah Peraturan 43, JPA.

"Ia bermaksud dia sudah dipindahkan keluar daripada kementerian (KBS) walaupun masih direman.

"Dia bukan secara teknikalnya digantung sebagai penjawat awam, tapi dia tak ada dalam kementerian ini," katanya.

Pada 18 Mac lalu, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di KBS dan lapan orang yang merupakan kontraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2010 itu telah memperdaya kementerian tersebut bagi membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor untuk tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

Dipercayai suspek berusia 56 tahun dari KBS yang menjadi dalang menggelapkan kira-kira RM100 juta dana kementerian itu aktif melakukan aktiviti berkenaan sejak enam tahun lalu.
 
 

Tiada ulasan: