Sabtu, 5 Mac 2016

Pantai barat Sabah juga terdedah kepada ancaman- Ahmad Zahid

Maklumat risikan mendapati bahawa telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah.


zahid


PETALING JAYA: Ancaman terhadap keselamatan yang sebelum ini terhad di kawasan pantai timur Sabah kini sudah merebak ke kawasan pantai barat negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa cabaran keselamatan di Sabah bukan hanya di pantai timur Sabah tetapi ia telah merebak ke pantai barat.

“Maklumat risikan mendapati bahawa telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah. Ini bukan soal main-main. Soal keselamatan bukan main-main. Ini soal ancaman sebenar dalam negara,” katanya, lapor Bernama.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Berdasarkan perkembangan berkenaan kata Ahmad Zahid, operasi keselamatan di darat, di laut dan udara juga tidak lagi terhad di kawasan pantai timur Sabah semata-mata tetapi turut diperhebatkan di kawasan pantai barat negeri berkenaan.

Berikutan itu, Ahmad Zahid menggesa supaya pertahanan menyeluruh atau ‘handruh’ melibatkan kerjasama seluruh lapisan rakyat dan anggota pasukan keselamatan agar tidak seincipun bumi negara ini khususnya di Sabah diceroboh mana-mana pihak.

“Biarpun keberadaan polis dan tentera itu penting, undang-undang punitif dan preventif itu penting, tetapi ketahanan jiwa rakyat itu lebih penting daripada perundangan yang ada dan daripada keberadaan pasukan keselamatan kerana pertahanan yang sebenarnya adalah pertahan menyeluruh atau handruh.

“Kefahaman (berkaitan pertahanan menyeluruh) ini boleh membantu pertahanan fizikal, malah kita boleh membantu pasukan keselamatan sedia ada,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa tanggungjawab mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua lapisan rakyat tidak kira dari negeri mana atau asal mereka atas perinsip di ‘mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’.

Di samping itu, beliau juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Pusat akan memperthankan kedaulatan Sabah dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak menceroboh negara ini.

Sebagai negeri berdaulat dalam Malaysia beliau menegaskan tidak akan timbul soal tuntutan mana-mana pihak ke atas negeri berkenaan kerana rakyat Sabah, melalui pungutan suara pada tahun 1960-an, sudah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk Malaysia.

“Kewujudan pelbagai akta dan perundangan yang berbentuk punitif dan preventif di negara ini diwujudkan bagi memastikan kedaulatan negara yang dikecapi kini terus terpelihara manakala akta dan perundangan yang sudah menjadi sebahagian daripada perlembangan negara itu wujud adalah hasil suntikan kesedaran rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: