Khamis, 10 Mac 2016

MP BN: WSJ seperti ratu cantik, tapi selak-selak ada panau

Zulaikha Zulkifli  

 


Seorang ahli parlimen BN hari ini mendakwa, akhbar Wall Street Journal (WSJ) hanya menyajikan laporan berita sensasi sehingga memberi gambaran bahawa Malaysia sedang menghadapi masalah ekonomi yang teruk.

Dr Noor Azmi (BN-Bagan Serai) berkata, WSJ yang adalah sebuah akhbar perniagaan hanya melaporkan berita sensasi berbanding perkara yang benar.

Menurutnya, berdasarkan agensi rating antarabangsa Fitch, ekonomi negara ini tidak seteruk yang digambarkan oleh WSJ.

"WSJ adalah surat khabar perniagaan. Surat khabar perniagaan ini dia cari berita yang sensasi. Berita yang sensasi, dia suka orang baca. Lebih ramai orang baca lebih bagus.

"Apa-apa pun agensi rating ini akan diguna oleh pelabur sama ada untuk membeli atau menjual. Orang tak buat keputusan dengan WSJ atau surat khabar yang cari berita sensasi.

"Saya tidak kata WSJ yang salah dan sebagainya, saya cakap apabila kita buat keputusan, kita nak percaya WSJ ke atau nak percaya pada agensi rating?" soalnya dalam Dewan Rakyat hari ini ketika membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu menyebabkan Dewan riuh seketika apabila Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) bangun dan memberitahu bahawa WSJ bukan akhbar sensasi seperti Kosmo!

Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) turut bangkit dan meminta Noor Azmi tidak menyamakan WSJ dengan akhbar Utusan Malaysia.

Selain itu, Noor Azmi turut memberi gambaran bahawa akhbar kewangan itu umpama seorang ratu cantik - walaupun berpakaian menarik namun mempunyai panau dan kayap.

"Saya nak bagi gambaran seolah-olah WSJ ini seperti ratu cantik. Ratu cantik, pakai cantik, semua cantik, (tetapi) selak-selak ada panau. Ada panau tak apa kalau kayap? Sebab kalau kayap, nasib tak baik boleh mati.

"(WSJ) nak bagi sensasi nak bagi laku surat khabar dan cerita benda yang sensasi," katanya lagi.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR- Kuala Langat) kemudian turut mencelah dengan mengatakan bahawa beliau malu mempunyai 'orang kampung' seperti Noor Azmi.

"(Cakap) kurap, panau. Malu dekat pelajarlah. Awak tu doktor, asal (dari) kampung aku. Malu kita nanti," kata Abdullah Sani yang kemudian mengundang ketawa di dalam Dewan.

Selepas itu, Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed Said berkata: "Sebenarnya Kuala Langat malu juga pada pelajar. Tak dibenarkan Yang Dipertua untuk berucap pun, bangun berucap. Tak ikut peraturan."

Akibat teguran itu Abdullah Sani sekali lagi bangun dan menjelaskan bahawa beliau ingin membetulkan 'fakta' yang diberi oleh Noor Azmi.

"Kita nak betulkan fakta dia sebab dia sekampung dengan saya, malu saya. (Cakap mengenai) selak-selak, panau, kurap. Tak pernah dibuat oleh orang kampung saya," kata Abdullah Sani lagi sambil ketawa.


Tiada ulasan: