Selasa, 8 Mac 2016

MH370: Laporan interim dikeluarkan esok

FREE MALAYSIA TODAY

 

Laporan akan terlebih dahulu diberikan kepada anggota keluarga terdekat penumpang dan anak kapal pesawat itu dan kemudiannya diumumkan pada 3 petang waktu Malaysia.


Liow-Tiong-Lai_mh370_600


KUALA LUMPUR: Laporan interim penyiasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 akan dikeluarkan pada 3 petang esok.

Bagi memperingati ulang tahun kedua kehilangan pesawat itu esok, Dewan Rakyat akan bertafakur seketika.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laporan itu akan dikeluarkan oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Malaysia bagi MH370.

“Ketua penyiasat Datuk Kok Soo Chon akan mengeluarkan kenyataan itu menerusi siaran televisyen di RTM 1.

“Kenyataan itu akan dimuat naik ke dalam laman web rasmi MH370 www.mh370.gov.my dan ia akan terlebih dahulu diberikan kepada anggota keluarga terdekat penumpang dan anak kapal pesawat itu dan kemudiannya diumumkan pada 3 petang waktu Malaysia,” katanya.

Liow dalam kenyataannya berkata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan mengetuai upacara bertafakur itu, akan menyampaikan ucapan takziah khas.

Berhubung penerusan misi mencari pesawat itu, Liow berkata hampir 90,000 km persegi daripada 120,000 km persegi kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi telah diliputi setakat ini, dan berhasil menemukan lebih 500 objek.

“Selepas analisis terperinci oleh pakar-pakar, tiada daripada objek itu dapat memberikan sebarang petunjuk berkaitan pesawat yang hilang itu setakat ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang menunggu pengesahan berhubung dua lagi serpihan dipercayai daripada pesawat MH370 yang ditemukan baru-baru ini di Mozambique dan Reunion Island.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac, 2014, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.— BERNAMA

Tiada ulasan: