Ahad, 13 Mac 2016

Mais, Jais sedia maklum arahan Sultan Selangor

Mais, Jais sedia maklum arahan Sultan Selangor
Laporan muka depan Sinar Harian.
 
 
SHAH ALAM - Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan penceramah dari luar negara berceramah di masjid di seluruh Selangor kecuali masjid-masjid tertentu perlu dipatuhi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penguatkuasaan sentiasa dibuat bagi memastikan pihak masjid dan seluruh ahli jawatankuasa mematuhi enakmen ditetapkan.

“Menjadi syarat penceramah-penceramah yang akan bagi ceramah di Selangor mesti ada tauliah sekurang-kurangnya tauliah sementara dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Jika tidak, tindakan boleh dikenakan.

“Titah Tuanku sultan bukan baru. Malah sebelum ni dah dimaklumi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Kita tak nak ajaran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah masuk ke negara kita hingga boleh menyebabkan salah faham, percanggahan pendapat dan ajaran sesat,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, bahagian Hal Ehwal Agama Islam Selangor turut berusaha menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat.

“Bukan sahaja sebagai tempat ibadah malah program bersifat dakwah, kebajikan, kuliah dan pendidikan turut diadakan di masjid.

“Sebahagian besarnya sudah berjalan rancak cuma penyusunannya perlu dilihat supaya matlamat membangunkan masyarakat tercapai,” katanya.

Selasa lalu, Sultan Selangor bertitah agar penceramah dari luar negara hanya dibenarkan berceramah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Sulaiman, Klang.

Titah baginda, ia bertujuan mengelakkan penularan dan penyebaran fahaman serta doktrin yang berbeza yang mudah diterima masyarakat Islam di sini.

Tiada ulasan: