Isnin, 14 Mac 2016

'Mahathir masuk perangkap, jadi siapa bodoh?'

Shakira Buang  



Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai individu paling rugi kerana terlibat dengan pembangkang dan menganjurkan Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan perdana menteri.

Anggota majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Mahathir sanggup meninggalkan perjuangannya selama ini semata-mata demi perasaan dendam serta mahu menghalalkan 'niat jahat' untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mahathir akan menjadi seorang pemimpin paling rugi (biggest losser) kerana telah meninggalkan banyak perkara yang selama ini dia perjuangkan, legasi dia, kredibiliti dia, dan semua perkara itu hanyalah bagi mendapatkan sokongan daripada pembangkang di mana mereka (pembangkang) tidak pun menolong dia, malah peroleh banyak benda daripada tindakan Tun Mahathir itu.

"Tun Mahathir dah jatuh ke dalam perangkap, apa yang saya katakan sebelum ini adalah betul. Dia fikir dia bersama pembangkang dapat tarik orang bersama dengan dia, tapi perkiraan dia salah, jadi siapa yang bodoh?" soal Tajuddin ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian, Mahathir boleh 'menyalak' sesuka hati, namun tiada perkara yang akan berubah akibat tindakannya itu.

"Dia boleh menyalak, tapi gunung itu akan kekal begitu sahaja kerana Datuk Seri Najib ibarat 'batu' yang kuat, dia mendapat sokongan 100 peratus daripada Umno," tambahnya.

Terdahulu, Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 individu yang terdiri daripada tokoh pembangkang, bekas pemimpin kerajaan dan NGO menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan perdana menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangi pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Mohamed Azmin Ali, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.


Tiada ulasan: