Selasa, 15 Mac 2016

Kontrak bawa pekerja Bangladesh bawah OSA

Charles Santiago mendesak kerajaan mendedahkan kepada awam perjanjian membawa masuk pekerja Bangladesh ke negara ini.

Zahid Hamidi


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menjelaskan kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat membawa masuk pekerja Bangladesh, Synerflux Sdn Bhd diletakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, kontrak dengan syarikat itu adalah rahsia buat masa ini kerana rundingan masih berjalan.

“Kerajaan masih lagi dalam proses rundingan dengan syarikat ini. Oleh itu, dokumen perjanjian diklasifikasikan di bawah OSA,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perjanjian untuk membawa masuk pekerja Bangladesh adalah perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan (G to G).

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang bertanyakan jika kerajaan mempunyai rancangan untuk mendedahkan perjanjian itu kepada rakyat.

Ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini, Charles berkata, pengumuman kerajaan menghentikan pengambilan pekerja asing amat meragukan kerana ramai pekerja asing terutama Bangladesh dan Nepal yang tiba di KLIA.

“Membuat perjanjian komersil dan meletakkan di bawah OSA, jelas menunjukkan kerajaan menyembunyikan sesuatu,” katanya.

Tiada ulasan: