Khamis, 24 Mac 2016

Kerajaan tiada rancangan laksana hukuman tahanan kediaman

SINAR HARIAN


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mempertimbangkan untuk melaksanakan hukuman tahanan kediaman (home detention) kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit dalam kes liwat.
 
Menurut kementerian yang diterajui Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana Malaysia tiada peruntukan undang-undang berkenaan.
 
"Berhubung cadangan untuk tempat penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh ke rumah kediamannya di Bukit Segambut, cadangan ini tidak boleh dilaksanakan keranaa negara kita belum mempunyai undang-undang untuk pelaksanaan tahanan di rumah," katanya kementerian berkenaan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
 
Cadangan itu dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat bagi menyatakan sama ada kerajaan mahu menggunakan pertimbangan kemanusiaan dengan membenarkan Anwar mendapatkan rawatan kesihatan di luar negara atau diberikan tahanan kediaman.
 
Kementerian Dalan Negeri dalam pada itu berkata, aspek pengurusan termasuk kesihatan seseorang banduan adalah termaktub kepada Akta Penjara 1995 dimana mereka hanya boleh mendapatkan rawatan di negara ini dan bukannya di luar negara.
 
Pembangkang terutamanya PKR sebelum ini meminta kerajaan membenarkan Ketua Umumnya itu untuk mendapatkan rawatan ke luar negara berdasarkan tahap kesihatan Anwar yang semakin merosot sejak dipenjarakan sejak 10 Februari tahun lalu.
 
Sebelum ini Anwar mendakwa mengalami kecederaan bahu yang kronik.
 
Setakat 13 Mac 2016 Anwar dibenarkan menerima 360 perjumpaan sepanjang berada di penjara dimana 152 kali melibatkan pemeriksaan kesihatan di Penjara Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.
 
"Setiap aspek pengurusan banduan termasuklah rawatan banduan adalah termaktub kepada ketetapan Akta Penjara 1995 dan Peraturan-peratuan Penjara 2000.
 
Jabatan Penjara terikat dengan ketetapan Seksyen 37 (1) Akta Penjara 1995 yang secara jelas menetapkan bahawa rawatan kesihatan untuk seseorang banduan adalah di hospital kerajaan dan bukannya hospital swasta mahupun di luar negara.
 
Zahid sebelum ini berkata, setiap banduan perlu mendapatkan rawatan di hospital tempatan sahaja dan tidak dibenarkan ke luar negara kerana alatan hospital di Malaysia setanding seperti di hospital antarabangsa.
 
"Hospital kerajaan juga mempunyai pakar-pakar yang mahir dna peralatan yang cukup serta setaraf dengan rawatan di peringkat antarabangsa," katanya.
 
 

Tiada ulasan: