Selasa, 15 Mac 2016

Kerajaan belanja lebih setengah juta ringgit terbit buku pertahan skandal 1MDB, DAP minta penjelasan

buku 1mdb

 

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Janji kerajaan UMNO-Barisan Nasional mahu mengurangkan perbelanjaan bagi setiap jabatan hanyalah omong kosong apabila unit propaganda Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) membelanjakan RM606,250 semata-mata untuk mencetak buku “1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab”.

Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, berkata perkara itu tidak wajar berlaku memandangkan terdapat pelbagai cara lain bagi kerajaan menyampaikan maklumat atau menjawab persoalan rakyat berhubung isu itu tanpa perlu berbelanja banyak.

“Kerajaan sebenarnya mempunyai banyak saluran percuma untuk menerangkan sesuatu isu atau menjawab soalan dari rakyat bagi pihak kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Namun begitu, pihak JASA memilih untuk membazirkan lebih RM606,000 lebih wang rakyat untuk memberi penjelasan mengenai isu 1MDB tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, kepadanya di sidang Parlimen bahawa RM606,250 dibelanjakan bagi mencetak 125,000 naskhah buku “1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab” dalam tiga bahasa.

Baju-Merah-Patriot

Kok Seong menambah, sebuah lagi buku “Himpunan Baju Merah” mengenai perhimpunan haram kumpulan ketuanan kaum di ibu kota tahun lalu yang turut diterbitkan oleh kerajaan menelan belanja RM12,000 apabila ia dicetak 2,000 naskhah, kononnya untuk memberi penjelasan secara fakta mengenai kedua-dua isu berkenaan.

Menurutnya, membazirkan wang rakyat seperti itu bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk berjimat-cermat ekoran krisis ekonomi yang melanda negara.

“Membelanjakan lebih RM606,000 untuk menjawab cuma satu isu 1MDB dalam bentuk propaganda memang tidak boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya mendesak Salleh supaya jangan mengelak dari memberi penjelasan berhubung perkara ini di Dewan Rakyat.

“Isu hutang 1MDB telah menyebabkan kerugian besar kepada negara kita. Kini, kerajaan BN pula menggunakan duit rakyat bagi menjawab isu itu. Beliau (salleh) perlu jelaskan,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: