Isnin, 14 Mac 2016

Kad kredit PM: Azalina nafi jawapan kelirukan Dewan

Najib
Najib Tun Razak. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Jawapan bertulis untuk pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai isu pembayaran bil kad kredit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan sebahagian dana RM27 juta daripada SRC International diberi berpandukan kenyataan rasmi Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Tony yang mahu merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas alasan cuba mengelirukan Dewan Rakyat dalam isu tersebut.

"Dalam kenyataan itu, Peguam Negara menjelaskan yang pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi yang boleh menunjukkan Najib telah melakukan sebarang perbuatan rasuah.

"SPRM dalam kenyataannya pada 27 Januari turut menegaskan tindakan merujuk kes Najib ke Panel Penilai Operasi (PPO) adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai menolak keputusan yang diputuskan oleh Peguam Negara," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tony pada sidang media di pekarangan Dewan Rakyat, di Parlimen hari ini mendakwa jawapan lisan Azalina bercanggah dengan kenyataan Peguam Negara mengenai isu tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tony mahu rujuk Azalina ke JK Hak dan Kebebasan]

"Di bawah Perkara 145(3), Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan. Kuasa budi bicara yang diberikan kepads Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana pihak termasuk mahkamah.

"Saya tidak faham maksud Tony yang menyatakan saya mungkin mengelirukan Dewan Rakyat melalui jawapan kepada pertanyaan lisan beliau," katanya lagi.

Tiada ulasan: