Oleh Hafiz Zainuddin & Fatih Hassan Nordin
KUALA
LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir memeriahkan
pesta demokrasi dalam beberapa siri Himpunan Muafakat Selamatkan
Malaysia di seluruh negara mulai 23 Mac ini, dan perhimpunan aman mega
Mansuh GST bertemakan ‘Undur Najib, Mansuh GST’ bertempat di Dataran
Merdeka di sini pada 2 April ini.
Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia dan Perhimpunan Aman Mansuh GST ini menggariskan tiga tuntutan utama Pakatan Harapan:
-
Reformasi menyeluruh ke atas sistem dan institusi negara untuk memastikan kebebasan, keadilan dan keluruhan undang-undang;
-
Pembebasan segera Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan
-
Peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Himpunan Muafakat
Selamatkan Malaysia, Mohamad Sabu berkata, siri jelajah himpunan yang
pertama akan diadakan pada 23 Mac ini bermula jam 8 malam di Padang
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Selangor.
“Sekretariat Muafakat Selamatkan Malaysia telah pun
memanjangkan jemputan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan Datuk Seri Shafie Afdal untuk turut serta dalam himpunan
muafakat pada 23 Mac dan sedang menunggu maklumbalas mereka.
“Himpunan kedua pula akan dianjurkan di Gelang Patah, Johor
pada 16 April 2016 dan seterusnya ke Kedah pada 7 Mei 2016,” umum
beliau dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, bagi perhimpunan
aman Mansuh GST yang akan diadakan di Dataran Merdeka, pihak penganjur
memperkenalkan logo, kemeja-T dan iklan media sosial sebagai promosi
menjelang himpunan tersebut.
“Pelbagai acara untuk menghebahkan demonstrasi ini telah
disusun oleh sayap-sayap pemuda Pakatan Harapan dan NGO selain dari
siri-siri ceramah,” ujar beliau.
Beliau menambah, satu ceramah besar juga akan diadakan di
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 31 Mac
yang melibatkan semua pimpinan Pakatan.
“Saya yakin, pengisian-pengisian sebegini akan membina
gelombang rakyat yang meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri Najib
Razak meletak jawatan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua himpunan yang
dirancang adalah terbuka untuk semua rakyat Malaysia, dan tidak sama
dengan satu acara tertutup yang dianjurkan oleh Datuk Zaid Ibrahim pada
27 Mac depan kerana majlis tersebut hanya terhad kepada kepada jemputan.
Turut hadir dalam sidang akhbar di Parlimen itu adalah
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke; Ketua Setiausaha
Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha
Agung PKR, Rafizi Ramli. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan