Jumaat, 4 Mac 2016

'Jangan beri talian hayat kepada Umno, BN'

MALAYSIAKINI




PAS berpendapat tiada guna mana-mana pihak memberikan "talian hayat" kepada kerajaan sekarang ketika ia dianggap sudah sampai ke penghujung dan kepentingan negara mesti diutamakan.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata apa yang diperlukan kini adalah perdana menteri dan anggota kerajaan yang dibentuknya, ditukar.

"Mereka yang mendakwa sebaliknya mungkin mempunyai hasrat dan niat yang hanya mereka ketahui," kata Iskandar dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata masalah negara tidak akan selesai jika hanya perdana menteri ditukar dan pentadbiran tetap "tidak berlandaskan Islam".

Krisis kepimpinan juga semakin kronik apabila Datuk Seri Najib Razak terus diserang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau pada 29 Februari lalu turut mengumumkan keluar daripada Umno.

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim pula mengumumkan akan mengadakan perhimpunan membantah kepimpinan Najib pada 27 Mac ini.

Dr Mahathir dan timbalan presiden Umno yang digantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengesahkan untuk menyertai himpunan berkenaan.

Abdul Hadi bagaimanapun mengumumkan PAS tidak akan menyertai mana-mana perhimpunan untuk mendesak Najib melepaskan jawatannya.
Menurut Iskandar tuntutan PAS jelas menunjukkan parti itu mahu perdana menteri dan kerajaan UMNO-BN ditukar.
Kerajaan bermaruah adakan PRU

Katanya, rakyat kini tidak lagi percaya kepada penjelasan diberikan kerajaan berhubung kontroversi syarikat pelaburan strategik negara 1MDB dan SRC International.

Iskandar yang juga exco kanan Selangor berkata kemelut politik negara ketika ini hanya dapat diselesaikan dengan pembubaran parlimen dan mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan segera.

“PRU dan kerajaan baru yang akan dibentuk selepasnya akan dapat memulihkan imej negara kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk membersihkan kerajaan daripada pihak yang menjadi bebanan kepada negara.

“Pada hakikatnya rakyat tidak percaya dengan pelbagai penjelasan diberikan walaupun pentadbiran Umno-BN cuba mendakwa bahawa ia masih diterima oleh rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, ADUN Chempaka itu berkata imej negara terus tercalar di dalam dan luar negara.

"Rakyat Malaysia yang keluar negara kerap dihujani pelbagai soalan tentang skandal yang menjadi berita utama," katanya.

Menurut beliau, mana-mana kerajaan bermaruah akan mengadakan PRU bagi membuktikan mereka masih mendapat sokongan rakyat.

“Tetapi adakah pentadbiran Umno-BN sekarang adalah kerajaan yang bermaruah?" katanya.


Tiada ulasan: