Khamis, 3 Mac 2016

Ingat, kamu ahli Umno 'totok', kata Zahid kepada Muhyiddin

Alyaa Azhar  


LIHAT VIDEO DI SINI

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan timbalan presiden parti itu yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau pernah mengakui dirinya seorang ahli Umno totok.

Peringatan Zahid itu dibuat ketika Muhyiddin dijangka mengadakan sidang akhbar esok untuk mendedahkan sama ada dirinya akan bersama Umno atau sebaliknya.

“Saya ingin merujuk kepada ucapan-ucapan beliau terdahulu bahawa beliau adalah ahli Umno totok.

“Masih terus menyayangi Umno dan sebagai ahli totok tentunya beliau akan terus dan tetap bersama-sama dengan kami di dalam Umno,” kata Zahid pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Zahid, sebarang keputusan mestilah dibuat berdasarkan kepentingan parti.

“Ini perlu) melebihi daripada membuat keputusan ketika seseorang itu berada di dalam kesedihan atau kemarahan,” katanya.

Pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pertama Muhyiddin selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri pada tahun lalu, apabila ditanya mengenai masa depannya bersama Umno, berkata beliau adalah seorang ahli Umno totok.

Mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa beliau masih adalah ahli Umno walaupun digantung daripada jawatan timbalan presiden, Zahid berkata dirinya bersetuju.

“Saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan (Muhyiddin).

“Walaupun bukan lagi seorang lagi timbalan presiden tapi (beliau) masih lagi sebagai ketua Umno bahagian Pagoh.

“Keahliannya tak terjejas, itu keputusan yg dibuat MT Umno Jumaat lalu,” katanya.

Muhyiddin, minggu lalu digantung dari jawatan Timbalan Presiden Umno yang berkuat kuasa serta-merta.

Penggantungan itu dikatakan sebagai tidak mengejutkan kerana beliau sejak akhir-akhir ini menjadi semakin lantang mengkritik Najib selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada tahun lalu.

Sementara itu, Zahid juga diminta mengulas dakwaan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

“Saya tak pasti, itu pendapat peribadi Nazri,” katanya.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata bahawa beliau hanya akan menyertai semula Umno jika Najib berundur daripada jawatan itu, Zahid tidak mahu mengulasnya.

"Saya tidak mahu ulasnya. Itu kenyataannya, kamu perlu mintanya untuk jelaskannya,” katanya.

Tiada ulasan: