Khamis, 3 Mac 2016

Himpunan 27 Mac Bukan Sekadar Undurkan Najib

KELAN GREENBOC


Jangan hanya lawan Najib, laksanakan reformasi - Dr Mujahid
 

Amanah tidak mahu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menentang perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebaliknya menyokong usaha mereformasi sistem pentadbiran negara.

Naib presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, bukan sesuatu yang baharu apabila Dr Mahathir menentang Najib kerana Pakatan Harapan (PH) dan sebelum itu Pakatan Rakyat (PR) sudah lama berbuat demikian.

"Apakah ini hanya tentang Najib? Tiada yang baharu kerana PR dan PH selama ini telah pun menyebut demikian tapi tidak berlaku apa-apa malah kami mahu perubahan struktural, tuntutan Bersih contohnya dan lain-lain,” kata Mujahid kepada Dr Mahathir seperti yang ditulisnya dalam catatan pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Perdana Isnin lalu.

Dalam sidang media di Wisma Amanah semalam, Mujahid berkata tiada sebarang perbincangan serius antara Amanah dan Dr Mahathir sebaliknya hanya bersetuju dengan Dr Mahathir yang ingin bersama-sama membaiki sistem pemerintahan negara ini.

"Sebagai wakil rakyat, ahli Parlimen legislatif, kami merasakan ia suatu yang perlu diambil perhatian. Itu sahaja, tidak ada yang lebih daripada itu," jelasnya.

Menulis dalam catatannya, Mujahid berkata, Dr Mahathir menyatakan kekesalan terhadap Najib.

“Saya ingat dia oghang baik, tapi la ni dah jadi teghuk sangat dahhh... menyesai saya sokong dia dulu," kata Dr Mahathir dalam loghat Kedah.

Mujahid berkata, beliau berasa terpanggil untuk bertemu Dr Mahathir kerana seruan bekas perdana menteri ke-4 itu agar melupakan kepentingan parti demi menyelamatkan negara belum pernah disuarakan sebelum ini.

“Hari ini Tun M menjadi penentang tegar Najib kerana menganggap PM 1Malaysia telah menjadi terlalu berkuasa dan telah membahayakan masa depan negara.

“Saya terpanggil bertemu dengan Tun M apabila seruan beliau melupakan kepentingan parti dan bersatu selamatkan Malaysia belum pernah diucapkan sebelumnya ketika dia menentang Pak Lah. Isu Pak Lah adalah masalah dalaman Umno tapi nuansa penentangannya terhadap Najib adalah soal negara,” katanya yang juga ahli parlimen Parit Buntar.

Justeru kata Mujahid, beliau menunggu gelombang baharu Dr Mahathir yang dimulakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu.

“Pertemuan hampir dua jam itu takkan saya lupa kerana sejurus pertemuan dengan kami, Tun M mengisytihar dirinya dan Tun Asmah keluar meninggalkan Umno.

“Saya menanti-nanti gelombang baru yang Anwar Ibrahim telah mulakan, apakah Tun M menyambung usaha reformasi DS Anwar sebagai menebus 'dosanya' yang lampau? Kita menanti penuh debar perhimpunan 27 Mac nanti,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud selain naib presiden PKR, Tian Chua dan bekas ahli parlimen Batu Berendam Tamrin Ghafar. - Malaysia Dateline 
 
 

Tiada ulasan: