Jumaat, 18 Mac 2016

Gesaan Apandi letak jawatan, RUU MKN dalam agenda AGM badan peguam

Hafiz Yatim

 


Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-70 Badan Peguam Malaysia esok dijangka menyaksikan perbahasan lebih hangat daripada biasa, berikutan beberapa usul difailkan, termasuk menggesa Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan jenayah.

Usul menggesa peletakan jawatan Apandi itu difailkan oleh peguam Charles Hector, Francis Pereira, dan R Shanmugam.

Difailkan pada 8 Mac, ia menggesa peguam negara untuk meletak jawatan dan bagi peguam cara negara mengetuai siasatan ke atas 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Usul itu menggesa Apandi segera meletakkan jawatan sebagai AG untuk kebaikan Malaysia, bagi memulihkan keyakinan orang ramai dan persepsi terhadap kedaulatan undang-undang, khususnya pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia.

Selanjutnya ia menggesa peguam cara negara untuk mengambil alih peranan dan tanggungjawab pendakwa raya dalam kes-kes yang melibatkan Najib, 1MDB, SRC International, dan RM2.6 bilion, kata mereka dalam usul itu yang dilihat oleh Malaysiakini.

Sebab untuk itu, menurut usul tersebut ialah bahawa Apandi sebagai pendakwa tidak sepatutnya menasihati Najib daripada membalas atau menjawab di Parlimen mengenai dana RM2.6 bilion.

Selanjutnya ia mempersoalkan cara bagaimamna bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail diganti, ketika beliau menerajui pasukan petugas yang sedang dalam proses menyiasat skandal-skandal tersebut.

Tiga peguam itu berkata pengumuman Apandi tentang bersalah atau tidak bersalah Najib - yang sedang disiasat - adalah bertentangan dengan Garis Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Peranan Pendakwa.

Menurut mereka, ia khususnya Artikel 10 yang menyatakan bahawa pejabat pendakwa hendaklah dipisahkan daripada fungsi-fungsi kehakiman.

Penentuan bersalah atau tidak bersalah adalah fungsi badan kehakiman, bukan AG, kata mereka lagi.

Di samping itu, usul tersebut juga menggesa Apandi supaya meletakkan jawatan sebagai pengarah Tabung Haji atau sebarang jawatan yang dipegang dalam syarikat, badan berkanun, atau entiti undang-undang.

Selasa lalu, Badan Peguam Malaysia telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman berhubung kuasa budi bicara peguam negara untuk tidak mendakwa Najib, kerana menurutnya, kuasa itu tidak mutlak atau tidak terbatas.

Ia berhubung keputusan Apandi untuk membersihkan Najib, yang didakwa menerima deposit RM42 juta daripada syarikat milik negara, SRC International dan RM2.6 bilion daripada akaun luar pesisir di akaun bank peribadinya.

Usul lain yang akan dibahaskan ialah rang undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemukakan oleh peguam Andrew Khoo, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa hak asasi manusia, Majlis Peguam.

RUU itu yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, membolehkan pengerusi MKN - yang merupakan perdana menteri - untuk memutus dan mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai zon keselamatan atas sebab-sebab keselamatan.

Satu lagi usul yang dijangka menyaksikan perdebatan adalah usul penapisan internet dan sekatan terhadap laman berita Malaysian Insider (TMI), yang kini telah ditutup.

Usul yang dikemukakan oleh Charles Hector itu berkata sekatan terhadap TMI adalah melanggar kebebasan bersuara dan pendapat.

Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru juga mengemukakan usul yang menyatakan bahawa peguam dalam tempoh amalan selama lima tahun atau kurang, akan dikehendaki menjalani Skim Pembangunan Profesional. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan denda antara RM100 dan RM500.

Beberapa peguam muda telah mengadukan bahawa usul itu mendiskriminasikan mereka tetapi The Malay Mail Online memetik pengerusi Jawatankuasa Piawaian dan Pembangunan Profesional, Richard Wee sebagai menafikannya minggu ini.

Sementara itu, beberapa kumpulan peguam, termasuk Persatuan Peguam Muslim Malaysia, telah mengingatkan bahawa sebarang usul untuk membincangkan mengenai keputusan Apandi itu, mungkin menjadi subjudis, selepas Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap peguam negara Selasa lalu.

Tiada ulasan: