Jumaat, 18 Mac 2016

DUN Sarawak mungkin bubar selewat-lewatnya minggu pertama April

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mungkin akan dibubarkan pada minggu depan atau selewat-lewatnya pada minggu pertama April, lapor The Star Online.
 
Menurut pemimpin veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos yang dipetik portal itu berkata, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah mencadangkan tarikh 18 dan 30 April untuk hari penamaan calon dan pengundian, bagaimanapun keputusan tentang tarikh masih terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
"Pada masa ini, terdapat gambaran bahawa pilihan raya akan diadakan pada bulan April. Tetapi SPR akan berpandukan faktor-faktor lain seperti keselamatan, cuaca dan persiapannya sendiri, jadi tarikh itu tidak semestinya 18 dan 30 April," katanya kepada portal itu.
 
"Ketua Menteri menganggap pembubaran itu sangat penting untuk dirinya. Dia masih perlu menyelesaikan masalah-masalah empat parti yang bersengketa mengenai kerusi dan calon," kata Minos.
 
Empat parti itu ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras). 
 
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir pula berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) berkemungkinan diadakan pada bulan Mei. 
 
"Pendapat saya pilihan raya kemungkinan besar akan diadakan pada 7 Mei atau selewat-lewatnya 14 Mei," katanya.
 
 

Tiada ulasan: