Jumaat, 11 Mac 2016

Deklarasi Rakyat: Jangan tanya saya sekapal dengan Hadi atau tidak - Mahfuz Omar

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar & Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak mahu dirinya dikaitkan dengan pendirian Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang secara terang-terangan tidak menyokong Deklarasi Rakyat. 
 
Sebaliknya, beliau mempertahankan tindakannya menandatangani deklarasi itu untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
 
Hadi sebelum ini menolak untuk menyokong deklarasi itu dan bertegas mahu menggunakan pilihan raya umum untuk menukar pemerintah secara keseluruhannya bukan hanya Najib seorang.
 
"Tidak timbul soal sekapal atau tidak. Jadi tak perlu tanya. Saya isytiharkan dari awal, tidak timbul (isu) sebelum presiden saya kata pun memang dari awal saya isytiharkan Najib kena turun demi rakyat dan negara.
 
"Saya tidak tergamak untuk tunggu pilihan raya dalam tempoh dua tahun hingga mengsengsarakan rakyat," katanya kepada pemberita, hari ini.
 
Mahfuz antara pemimpin PAS yang hadir hadir ke majlis menandatangani Deklarasi Rakyat pada Jumaat lalu bersama bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
 
Bagaimanapun kehadiran mereka berdua tidak mendapat keizinan Hadi, sebagaimana yang diperolehi dua lagi pemimpin PAS yang turut hadir ke majlis tersebut - Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.
 
 

Tiada ulasan: