Ahad, 6 Mac 2016

Deklarasi anti najib bukan rampasan kuasa

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir‎ berkata, matlamat Deklarasi Rakyat ialah mahukan Datuk Seri Najib berundur sebagai perdana menteri.

Oleh itu, tegasnya adalah silap jika mengatakan bahawa Deklarasi Rakyat tujuannya untuk merampas kuasa bagi menjatuhkan penguasaan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Perlu difahami bahawa matlamat  yang dipelopori oleh Tun Mahathir dan semua yang menandatangani Deklarasi Rakyat ialah agar Datuk Seri  Najib berundur sebagai PM.

"Tiada langsung niat untuk menjatuhkan Kerajaan BN yang memerintah ketika ini,"katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, adalah tidak masuk akal sama sekali dakwaan bahawa tindakan Dr Mahathir  ini akan menguntungkan Pembangkang termasuk DAP.

"Adakah BN akan tumbang jika Najib undur? BN tetap mempunyai majoriti kerusi Dewan Rakyat.

"Yang hanya perlu dilakukan ialah pelantikan PM yang baru - dari kalangan Ahli-ahli  Parlimen BN, bukan daripada Pembangkang," katanya.

‎Katanya, bagi  mempertahankan kedudukan BN sebagai Kerajaan, Najib perlu diganti pemimpin BN lain sebagai perdana menteri sebelum PRU14.

"Jika Najib masih memimpin BN hingga PRU14, BN akan menerima padahnya.

"Amarah Rakyat sudah tidak boleh dibendung lagi. "Tunggulah PRU nanti. Kami tahulah apa nak buat". Itu yang  kedengaran rata-rata dikalangan Rakyat sekarang,"katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir, yang mengambil keputusan keluar daripada Umno pada 1 Mac lalu,Jumaat lalu bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang dan bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno menandatangani Deklarasi Rakyat mahukan Najib meletakkan‎ jawatan perdana menteri.

Antara yang turut hadir menandatangani deklarasi itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Lim Kit Siang dan Datuk Mustafa Ali.

Tiada ulasan: