Sabtu, 12 Mac 2016

Bank Negara kemuka calon pengganti gabenor kepada Putrajaya, kata Zeti

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) sudah membuat cadangan berhubung calon penggantinya.  
 
"Jawatankuasa pentadbiran Bank Negara sudah menyerahkan cadangannya dan kerajaan akan membuat keputusan dan menyerahkan cadangan nama terbabit kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita di Forum Global Wharton 2016 di Sasana Kijang di sini petang tadi. 
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengganti beliau susulan persaraan beliau tidak lama lagi. 
 
Zeti akan menamatkan perkhidmatannya pada akhir April ini, selepas berkhidmat sebagai Gabenor Bank Negara selama 16 tahun. 
 
Beliau berkata, topik berhubung siapa yang bakal menggantikan beliau turut disentuh pada perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam. 
 
Bagaimanapun, katanya, banyak lagi perkara lain berkaitan ekonomi turut dibincangkan pada taklimat itu. 
 
"Semalam ada taklimat. Taklimat diberikan sebelum pembentangan laporan tahunan dan ia mengambil masa dua jam. 
 
"Satu setengah jam daripada taklimat itu disampaikan oleh saya berhubung penilaian dan dasar kami, bagaimana kita boleh membangun atas dasar yang berdaya tahan untuk masa depan, bukan saja untuk keadaan semasa," katanya.
 
 

Tiada ulasan: