Khamis, 3 Mac 2016

Anwar akan wakili dirinya di mahkamah esok

Shakira Buang  




Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mewakili dirinya sendiri dalam 16 kes mahkamah bermula esok.

Langkah berkenaan terpaksa diambil selepas Penjara Sungai Buloh menghadkan akses peguam terhadapnya, kata naib presiden PKR, N Surendran yang juga adalah peguamnnya.

Katanya, sejak Ogos 2015, peguam hanya dibenarkan bertemu Anwar sekali seminggu dan terhad kepada selama sejam sahaja.

"Anwar akan mewaliki diri sendiri di mahkamah. Notis sudah difailkan kepada mahkamah pada 29 Februari 2016.

"Kita sudah beberapa kali mengemukakan bantahan terhadap hak peguam kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh, Ketua Pengarah Penjara dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Namun, ia (akses) tetap sama seperti itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Menurut Surendran, sebelum ini peguam boleh bertemu Anwar sebanyak dua kali seminggu dengan tempoh masa yang fleksibel.

Anwar akan mewakili dirinya buat pertama kali dalam kes tuntutan terhadap Utusan Malaysia di Mahkamah Persekutuan esok.

Bagaimanapun, semua peguam kekal bersama Anwar dalam beberapa kes lain namun ia bergantung kepada kehendaknya sendiri.

Pada sidang media yang sama, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata akses kepada peguam adalah perkara asas yang perlu diberikan.

Katanya, permohonan lain Anwar termasuk mendapatkan rawatan kesihatan yang baik bukanlah soal individu tetapi soal hak sebagai tahanan

Tiada ulasan: