Sabtu, 12 Mac 2016

Adakah fobia nama Lim Kit Siang?, tanya Muhyiddin

 
Beliau mempersoalkan mengapa pengkritik hanya mengaitkan nama pemimpin veteran DAP itu dengan Deklarasi Rakyat tetapi tidak pemimpin pembangkang yang lain.


muhyiddin_deklarasi-rakyhat_600


PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas pengkritik Deklarasi Rakyat yang hanya mengaitkan nama pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sedangkan ramai lagi pemimpin pembangkang dan kerajaan yang menyokong deklarasi itu.

Katanya, mengapa pengkritik tidak menyebut nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik, serta tokoh-tokoh lain yang secara terang-terang menyokong Deklarasi Rakyat.

“Ini seolah-olah mereka ada fobia,” kata Timbalan Presiden UMNO yang kini digantung jawatan, lapor The Malay Mail Online.

Pengkritik Deklarasi Rakyat khususnya penyokong UMNO cuba membangkitkan kemarahan rakyat dengan mendakwa Dr Mahathir bersekongkol dengan DAP untuk menjatuhkan pemimpin Melayu.

Sinar Harian pula melaporkan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Deklarasi Rakyat adalah hasil buah fikiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenyataan beliau itu bagi menyangkal kritikan beberapa pihak yang mendakwa Dr Mahathir telah ‘jatuh ke dalam perangkap’ parti pembangkang.

Dalam wawancara bersama akhbar itu, Muhyiddin berkata deklarasi yang bertujuan mendesak Datuk Seri Najib Razak agar berundur daripada jawatan Perdana Menteri itu pada mulanya dirangka oleh Dr Mahathir sendiri, sebelum disertai ahli politk pembangkang dan NGO.

“Ia agak luar biasa, usaha ini dilakukan bersama pembangkang dan mereka yang sama pandangan, dan bukan kami ke pihak mereka, dan bukan kerana terperangkap oleh DAP, Lim Kit Siang atau pembangkang,” katanya.

Tiada ulasan: