Sabtu, 12 Mac 2016

900 pesawah risau padi tidak dituai

SINAR HARIAN


sawah padi
Gambar Hiasan
 
 
ROMPIN - Lebih 900 pesawah dari Paya Setajam di sini, berdepan masalah berikutan lebihan padi yang masih tidak dapat dituai walaupun sudah sampai tempoh matang.

Tinjauan di Paya Setajam melibatkan Kampung Setajam, Kampung Sarang Tiong, Kampung Kurnia, Kampung Lantang, Kampung Garung, Kampung Mentara dan Kampung Pianggu, mendapati kebanyakan pesawah bimbang akan menanggung kerugian besar sekiranya padi mereka rosak.

Yang Dipertua Penanam-Penanam Padi Daerah Rompin, Abdul Rahman Ahmad, 62, mendakwa masalah itu disebabkan pesawah perlu menunggu giliran lama untuk proses pemindahan padi ke Kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Kuala Rompin.

"Sekarang, kira-kira 60 peratus padi kami tidak dipotong sebab tunggu giliran. Ini kerana banyak lori masih menunggu giliran di (kilang) Bernas untuk memindahkan padi yang sudah dikutip.

"Ia terhad kepada kami, sehari Bernas boleh mengambil padi kira-kira 800 tan sahaja berbanding 1,600 tan hasil padi yang kami tuai untuk dijual kepada Bernas. Selebihnya kami perlu menunggu keesokan atau hari lain," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Justeru, Abdul Rahman memohon pihak pengurusan Bernas membantu pesawah yang terlibat, dengan menambah kuantiti pembelian padi secara harian supaya tiada padi tidak dapat dituai sehingga merugikan golongan berkenaan.

Pesawah Zulkifli Omar, 55, pula mendakwa dalam tempoh dua minggu dari sekarang, kira-kira 3,000 tan padi akan rosak jika masih lagi tidak dituai dengan anggaran kerugian sebanyak RM2.5 juta.

"Saya yang mewakili petani-petani di sini meminta Bernas membuka satu lagi tempat pemindahan padi di sekitar kawasan ini bagi menampung jumlah padi yang banyak," katanya.

Bagi Halijah Shafie, 63, yang sangat sedih dengan situasi berkenaan, berkatan beliau bergantung sepenuhnya wang hasil penjualan padi untuk perbelanjaan harian keluarga.

Beliau yang merupakan seorang ibu tunggal, mendakwa lebih kurang 18 tan padi dengan nilai kira-kira RM20,000 di sawah miliknya sudah melebihi tempoh matang untuk dituai, namun tidak dapat berbuat demikian dan kini ia mulai rosak.

"Sekarang masih tidak boleh ambil lagi padi. Saya sangat sedih sebab hanya mengharapkan duit padi ini untuk beri cucu sekolah. Jadi saya mohon, bantulah kami rakyat di bawah ini," katanya.

Hasnah Bakar, 52, pula mendakwa beliau terpaksa menyewa lori mengangkut padi sebanyak 65 tan untuk dijual kepada pengusaha kilang di Melaka pada Isnin lepas, bagi mengelak padinya rosak jika masih tidak dituai.

"Ini memerlukan kos yang tinggi kerana kos penghantaran bagi satu tan padi adalah sebanyak RM60," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bernas ketika dihubungi Bernama berkata isu itu berlaku setiap tahun, namun syarikat itu tidak pernah gagal untuk membeli kesemua padi milik pesawah berkenaan.

Jurucakap itu berkata antara langkah diambil kali ini adalah dengan menghantar padi yang dibeli itu ke Selangor dan Johor untuk diproses secara berterusan.

"Selain itu, kita akan melanjutkan waktu operasi (Kilang Bernas) dan menambah tempat pemindahan padi baharu dalam Kilang Bernas di Rompin untuk menampung kapasiti padi," katanya.

Beliau berkata Bernas memberi jaminan semua proses pembelian padi akan diselesaikan pada hari yang sama ia dihantar ke kilang sepertimana dilaksanakan sebelum ini.

"Kita akan mengalami keadaan puncak jualan padi dalam empat atau lima hari sahaja selepas tuaian selesai di daerah Rompin dan Mersing," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin meminta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) menjadualkan semula jadual penanaman padi untuk mengelak tuaian serentak sehingga menyebabkan Kilang Bernas berkenaan tidak mampu menampung kuantiti padi yang terlampau banyak.

"Masalah pembelian padi di Kilang Bernas ini berpunca daripada beberapa perkara antaranya padi masak serentak. Jika dijadualkan semula penanaman padi, ia tidak akan masak serentak sekali gus kurang membebankan Bernas membeli padi ini," katanya.

Hasan berkata pesawah tidak perlu bimbang mengenai masalah itu kerana Bernas sudah memberi jaminan untuk membeli kesemua padi mereka.

"Saya juga difahamkan gudang pemindahan padi di Kilang Bernas ini akan diperbesarkan pada tahun ini untuk menampung padi yang lebih banyak," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: