Sabtu, 26 Mac 2016

1MDB umum bayaran hutang lain dua tiga minggu lagi

MALAYSIAKINI




1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mengumumkan pembayaran hutangnya yang lain dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata ketika ini, syarikat tersebut berada dalam fasa pembayaran hutang dan tidak akan membuat hutang baru.

"Pada pagi ini, kami membuat pengumumam bahawa 1MDB telah menyelesaikan secara penuh satu hutang berjumlah RM700 juta," katanya dalam satu rancangan temubual televisyen, 'Business Plus' di saluran Astro Awani hari ini.

Sementara itu, Arul Kanda turut menafikan penglibatan Jho Low, individu yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB, dalam apa-apa aktiviti syarikat.

"Sebelum ia (1MDB) menjadi 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) telah ditubuhkan di mana pemegang sahamnya ialah kerajaan Terengganu. Pada masa tersebut, Jho Low telah dilantik sebagai penasihat kepada TIA," katanya.

Bagaimanapun, Arul berkata Jho Low telah meletak jawatan pada Mei 2009, sebelum saham TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan dan nama TIA ditukar kepada 1MDB.

"Jadi Jho Low tiada sebarang aktiviti di dalam syarikat, beliau tidak dibayar oleh syarikat dan tidak diberikan apa-apa tugas untuk syarikat," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: