Khamis, 23 Julai 2015

WSJ Sedang Mencabar Pahlawan Bugis

shahbudindotcom


Najib Razak barangkali merupakan Perdana Menteri Malaysia yang akan tercatat dalam sejarah kerana paling banyak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang dan media yang tidak sehaluan dengannya.

Sehingga ini, sekurang-kurangnya tiga pemimpin pembangkang iaitu Pengerusi DAP Selangor Tony Pua, Naib Presiden yang juga Setiauasa Agung PKR Rafizi Ramli dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming telah disamannya.

Ketiga-tiga mereka juga adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Pandan dan Taiping.

Media yang disamannya pula ialah Harakahdaily dan Malaysiakini.

Jika akhbar perniagaan The Wall Street Journal (WSJ) juga turut disamannya dalam waktu terdekat ini, ia akan menjadi pihak keenam yang diambil tindakan undang-undang Najib. 

Semalam tempoh 14 yang diberi oleh Najib kepada penerbit WSJ terhadap tuntutan penjelasannya sama ada laporan akhbar itu bermaksud Najib menyeleweng atau sebaliknya sudah pun berakhir.

WSJ tidak memberi sebarang respon  atau "bo layan" terhadap tuntutan Perdana Menteri dan ianya secara jelas bermaksud mereka hanya ingin berhujah dan mengemukakan bukti-bukti mengenai pengaliran masuk dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib sebagaimana dilaporkan sebelum ini di mahkamah saja.

Ia adalah cabaran terbuka yang sedang dilontarkan oleh WSJ terhadap Najib sama ada berani meneruskan saman atau sebaliknya. Dan sepatutnya sebagai Pahlawan Bugis yang gagah berani, waima kononnya sehingga bumi berkeping dua sekali pun, tindakan saman tidak harus dilengah-lengahkan lagi.

Namun peguam Najib, sepertimana yang dilaporkan oleh media, sedang menunggu arahan selanjutnya mengenai perkara tersebut.

Sekarang segala-galanya terserah kepada Najib, dunia sedang menanti sama ada beliau berdarah Bugis sejati atau tidak lagi.

Menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam dan tempoh pentadbirannya juga baru melepasi enam tahun, tetapi sejarahnya telah terukir dengan enam tindakan undang-undang tentulah merupakan satu lagi "mercu tanda" kukuh segagah KLCC dan Putrajaya yang bakal diingati tentang makna sebenar kebebasan dan keterbukaan yang diamalkannya.

Tidak seperti Perdana Menteri sebelumnya, mereka juga berhadapan dengan kritikan dan serangan media, tetapi jarang sekali memilih untuk mengambil tindakan saman. Ini kerana sebagai ketua negara dalam sebuah negara demokrasi, kritikan, serangan dan kadang-kadang fitnah, adalah lumrah serta asam garam dalam kehidupan seharian.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Razak dan Tun Hussein mungkin tidak banyak menerima serangan, kritikan dan fitnah kerana negara ketika itu masih di peringkat awal pembangunan dan masyarakatnya belum begitu berkembang, tetapi harus diakui Tun Mahathir dan Tun Abdullah hampir sepanjang masa pentadbirannya tidak pernah sunyi dengannya.

Berapa banyak agaknya tindakan saman yang diambil oleh Tun Mahathir dan Tun Abdullah kepada pemimpin pembangkang serta media di era pemerintahan mereka?

Wibawa dan hebatnya seorang Perdana Menteri yang hampir seluruh kehidupannya ditanggung oleh cukai rakyat bukanlah dengan menutup mulut pengkritiknya melalui tindakan undang-undang, sebaliknya sejauh mana mampu memberikan penjelasan terhadap setiap perkara yang dibangkitkan.

Sebab itu, antara punca Tun Mahathir terus disanjung ialah keupayaannya memberi hujah dan penjelasan terhadap apa juga isu yang ditujukan terhadapnya. Di eranya, beliau bukan saja dituduh memiliki kekayaan luar biasa, menghilangkan wang negara, membantu kroni dan mengamalkan nepotisme - sesuatu yang tidak banyak bezanya dengan Najib, malah dituduh "maha zalim" dan "maha firaun".

Setiap tuduhan, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya, Tun Mahathir hanya memilih untuk memberi jawapan dan penjelasan yang mampu meyakinkan rakyat saja, bukannya menyaman mereka.

Menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi ketua negara, tidak banyak bezanya dengan mendirikan rumah di tepi pantai. Deru dan pukulan ombak adalah mainan seharian. Bunyi dan mainan ombak juga adalah penyeri dan hiburan sehari-hari.

Seronokkah berumah di tepi  pantai jika tiada bunyi ombak yang didengar dan dirasai setiap hari?

Orang yang memilih berumah di tepi pantai biasanya hanya perlu membina struktur rumahnya lebih kukuh bersesuaian dengan cabaran cuaca dan pukulan ombak yang mungkin boleh membawa kerosakan, tetapi tentulah amat ganjil dan "poyo" jika  tinggal di tepi pantai tapi membina benteng penahan ombak di tepi laut lantaran tidak mahu terganggu dengan desirannya.

Tiada ulasan: