Sabtu, 25 Julai 2015

Tiga YB nafi sertai Harapan Baru

Harapan Baru
 
 
 
KOTA BHARU - Tiga wakil rakyat yang didakwa dikaitkan dengan penubuhan Harapan Baru menjelaskan mereka masih setia dengan perjuangan Pas.

Desas-desus pembabitan mereka dalam gerakan oleh kumpulan progresif Pas berlaku apabila nama mereka menjadi viral untuk hadir sebagai penceramah semasa majlis pelancaran Harapan Baru pada 19 Julai lalu di Kota Bharu.

Menurut Adun Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim, sehingga kini beliau masih setia dengan perjuangan Pas yang didukungnya selama ini.

“Saya masih wakil rakyat Pas, saya dipilih oleh parti Pas untuk bertanding atas tiket Pas,” katanya.

Mohamad Zaki yang juga bekas Setiausaha Pas Kelantan berkata, beliau tidak mahu menghampakan dan mengkhianati kepercayaan diberikan pimpinan serta penyokong sejak pertama kali bertanding pada 2004.

Sementara itu, mengulas mengenai sumpah bai’ah, Mohamad Zaki berkata, beliau tidak terkecuali dan turut melakukan perkara sama selepas menang pada PRU12.

Sambil mengakui isi kandungan sumpah bai’ah sebagaimana yang tersebar menerusi media sosial, Mohamad Zaki menjelaskan, beliau melakukannya tanpa sebarang paksaan.

“Itu (angkat sumpah) adalah tanda kesetiaan saya pada Pas. Setiap kali bertanding saya akan angkat sumpah,” katanya.

Sementara itu, Adun Tendong, Mohd Rozi Mohamad menafikan beliau terlibat dengan Harapan Baru sebagaimana terkandung dalam poster kempen gerakan berkenaan, baru-baru ini.

Mohd Rozi berkata, beliau masih setia dengan perjuangan Pas dan menganggap Harapan Baru tidak sesuai untuk digerakkan di Kelantan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dan saya tidak terlibat dengan Harapan Baru dan saya masih setia dengan Pas,” katanya.

Berhubung gambarnya yang turut disiarkan dalam kempen gerakan tersebut, beliau menjelaskan, persetujuan awal untuk meletakkan foto beliau adalah untuk tujuan hebahan majlis sambutan hari raya bersama perantau.

“Setelah saya menerima jemputan untuk memberikan ceramah bagi melancarkan gerakan tersebut, saya membuat keputusan tidak menghadirkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, memetik Bernama, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, beliau tetap kekal berjuang bersama Pas.

Malah katanya, beliau berhasrat untuk menawan dua lagi kerusi Dun yang dimenangi oleh BN iaitu Semerak dan Selising pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, pihaknya kini turut memantau hala tuju dan corak kepimpinan Harapan Baru  sama ada ia menepati kehendak Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Pas.

“Sehingga ini perjuangan mereka masih kabur dan tidak menentu,” katanya.

Ditanya mengenai bai’ah, beliau juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Puteh berkata, mereka berkenaan perlu merujuk terlebih dahulu dengan ulama yang muktabar (masyhur) untuk mendapatkan pandangan.

“Saya bimbang jika mereka melakukan dengan sewenang-wenangnya, secara automatik akan menggugurkan talak tiga ke atas isteri yang tersayang,” katanya dipetik.

Bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaafar dan Dr Hatta Ramli menyertai gerakan berkenaan, manakala bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa masih belum menyatakan pendirian secara jelas mengenai perkara tersebut.
 
 

Tiada ulasan: