BANGKOK - THAILAND. Polis Thai tidak akan memanggil mana-mana orang
lain berhubung kes warga Swiss Xavier Andre Justo yang dituduh mengugut
bekas majikannya PetroSaudi International.
"Aktiviti itu tidak berlaku di Thailand. Ia mengenai penjelasan
berhubung kaitan kes ini tetapi kesalahan itu tidak langsung berlaku di
Thailand," jurucakap polis Thai Lt-Jen Polis Prawuth Thavornsiri
memberitahu pemberita di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai pendedahan minggu lepas bahawa Justo telah
menemui sekurang-kurangnya 10 orang di Singapura dan tempat-tempat lain,
dan sama ada orang-orang ini akan dipanggil untuk disoal siasat.
Justo dikatakan telah berjumpa mereka membincang dan merundingkan harga
untuk menyerahkan salinan-salinan dokumen mengenai urusniaga Petro
Saudi International dengan 1Malaysia Development Bhd.
Hanya Justo, yang mengaku telah mengugut PetroSaudi International, telah disoal siasat dalam kes ini.
Prawuth berkata polis Thai kini di peringkat akhir mengumpul bukti kes
tetapi belum ada tarikh ditetapkan untuk mengenakan tuduhan terhadap
Justo.
"Saya kira tidak lebih dari sebulan, tetapi tidak ingin mendesak
pegawai-pegawai penyiasat. Jika saya kata dalam tempoh 10 hari, mereka
(pegawai penyiasat) mungkin merasa tertekan," katanya.
Polis Thai masih mempunyai 54 hari untuk mendakwa Justo, yang hingga hari ini sudah 30 hari ditahan polis.
Prawuth berkata Justo telah memilih sendiri peguamnya tetapi tidak tahu yang mewakilinya (Justo).
Beliau berkata salinan semua bukti dalam bentuk dokumen termasuk
komunikasi e-mel berkaitan kes itu telah dibuat demi "keselamatan
Justo".
Ditanya apa beliau maksudkan berkata demikian, Prawuth menjelaskan
salinan (bahan bukti) adalah perlu oleh kerana hanya Justo tahu mengenai
bukti kes, dan jika sesuatu berlaku pada dirinya, tanpa salinan itu,
ini mungkin menguntungkan orang lain.
Beliau berkata Justo berkeadaan baik dan kelihatan tidak tertekan.
"Saya membuat pemeriksaan dengan pegawai-pegawai penjara kerana kami
bimbang tentang kebajikannya dan beliau saksi penting dalam kes ini,"
kata beliau.
Prawuth berkata polis Thai masih belum menyerahkan sebarang salinan
dokumen berkaitan kes itu kepada polis Malaysia, dan beliau tidak tahu
bila ini akan dilakukan.
"Ini dalam proses diselaraskan," kata beliau.
Ditanya mengenai permintaan polis Malaysia untuk menyoal siasat Justo,
Prawuth berkata mereka telah menghubungi kerajaan Thai menerusi
Kementerian Luar tentang perkara ini.
"Bagaimanapun, Polis Thai belum diberitahu," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan