Sabtu, 11 Julai 2015

Tabik Dua Belah Tangan, Rosmah Terbukti Lebih 'Jantan" Berbanding Najib

shahbudindotcom

 



Bukan setakat sebelah tangan, tetapi tabik dua belah tangan kepada isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor yang dengan berani dan tidak menunggu terlalu lama untuk tampil mengesahkan bahawa pendedahan Sarawak Report mengenai akaun bank miliknya adalah betul dan benar-benar wujud.

Ternyata, dalam keadaan tidak boleh membongkok dan menderita sakit lutut, beliau lebih "jantan" berbanding suaminya untuk mengakui sesuatu kebenaran yang perlu diketahui oleh rakyat dan orangramai.

Kalau boleh, seluruh negara harus memberikan tabik hormat dua belah tangan kepadanya yang baru-baru ini dinobatkan sebagai "First Lady kedua tercantik di Asia" atas keberanian tersebut.

Tidak seperti suaminya, Najib yang sehingga sekarang masih tidak berani mengesahkan sama ada akaun bank yang didedahkan oleh Wall Street Journal adalah miliknya dan kemasukan wang ke dalam akaun tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya, hanya tidak sampai dua hari, Rosmah melalui peguamnya tampil mengesahkan kebenaran dakwaan Sarawak Report itu.

Sambil mempertikaikan dari segi pelanggaran Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan mahu Bank Negara bertindak mengenai kebocoran maklumat itu, peguam itu juga menafikan kemasukan wang yang didakwa Sarawak Report itu ada kaitan dengan 1MDB.

Tetapi, jika dilihat daripada laporan Sarawak Report, mereka juga tidak mengaitkan kemasukan wang RM2 juta itu dengan 1MDB, pemberian sesiapa atau datangnya dari sumber yang tidak sah, sebaliknya hanya mengatakan ada beberapa kali deposit wang yang dilakukan oleh seorang lelaki bernama "Roslan Sohari"  ke dalam akaun bank peribadinya.

Melalui kenyataan peguam yang dikeluarkan malam tadi juga, bagaimanapun tiada sebarang pengumuman sama ada tindakan saman atau surat meminta penjelasan terhadap Sarawak Report akan diambil atau tidak.

Berbeza dengan Najib, berdepan serangan berterusan daripada Wall Street Journal dan Sarawak Report serta desakan ramai yang mahukannya menjawab dengan jujur tentang dakwaan pengaliran wang masuk ke dalam akaun peribadinya yang didakwa berjumlah RM2.6 bilion, beliau bukan saja tidak berani memberi jawapan yang meyakinkan, malah melencong kepada kata-kata,  "saya tak ambil wang 1MDB untuk peribadi"  dan "saya tidak pernah khianati amanah rakyat" atau yang membawa maksud seumpama dengannya.

Sudah lebih seminggu berlalu, masih tiada jawapan berlandaskan kebenaran dan fakta mampu diberikannya. Ancaman saman terhadap WSJ pula akhirnya bertukar kepada tuntutan meminta penjelasan saja.

Beberapa kali pula beliau sekadar berkata, kebenaran akan muncul akhirnya tanpa menyebut sama ada kebenaran itu untuk dirinya atau kebenaran yang sebenar-benarnya.

Selebihnya, dalam menghadapi tekanan itu, Najib seperti cuba menggunakan pendekatan menyampaikan mesej suci murni dengan bercakap hal-hal berkaitan agama, mengingatkan tentang Lailatul Qadar, berbuat baik, dosa, pahala dan sebagainya.

Beberapa hari kebelakangan ini, sama ada melalui ucapan, tulisan di FB dan Twitter miliknya, mesej suci murni itu ternampak lebih kerap diluahkannya berbanding sebelum ini atau ketika sambutan Ramadan tahun-tahun sebelumnya.

Mungkin dengan menyampaikan mesej atau peringatan suci murni dan berkaitan akhirat itu, ia merupakan terapi yang mampu memberi ketenangan jiwa kepada Perdana Menteri berbanding tampil dengan keberanian menyatakan "ya" atau "tidak" berhubung dakwaan terhadapnya.

Bagaimanapun, ada sesuatu yang perlu Najib pelajari daripada isterinya dalam bab keberanian ini, kalau pun beliau tidak mahu mempelajarinya daripada Tun Mahathir Mohamad atau pun Anwar Ibrahim. 

Tiada ulasan: