MALAYSIAKINI
Saudara Mohamad Sabu,
Terlebih dahulu, izinkan saya gunakan gelaran Mat Sabu untuk berinteraksi sepanjang surat terbuka ini.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada saudara Mat Sabu dan
pemimpin-pemimpin yang menjayakan pembentukan Gerakan Harapan Baru
(GHB).
Kami di badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyanjung
tinggi keazaman saudara dan pimpinan GHB untuk meneruskan perjuangan
yang dapat membawa perubahan baru dalam konteks negara, masyarakat dan
politik semasa Malaysia.
Tujuan saya menulis surat terbuka ini adalah untuk menarik perhatian
saudara dan pimpinan GHB supaya mempertimbangkan cadangan peribadi
seorang penyelidik yang selama ini mengikuti secara dekat perkembangan
politik dan ekonomi Malaysia termasuk dinamik PAS dan gerak-geri
masyarakat madani.
Malaysia sedang bergelumang dengan skandal dan krisis yang membimbangkan
segenap rakyat Malaysia dan pelbagai pihak yang mengikuti perkembangan
semasa secara dekat. Perkembangan semasa melibatkan dinamik politik,
kewangan negara, tekanan hidup masyarakat secara umum dan ekonomi yang
tidak menentu, telah mencorakkan topik perbualan rakyat pelbagai
lapisan.
Dalam konteks semasa, 52 peratus rakyat Malaysia yang menyokong Pakatan
Rakyat semasa PRU-13 pada 5 Mei 2013, merasa terkilan dengan perbezaan
dan perkembangan sebelum dan selepas 5 Mei 2013.
Pertama sekali, rakyat-52 terkilan kerana setelah beberapa gerakan
BERSIH dan gerakan massa lain berjaya diadakan, keputusan pada 5 Mei
2013 tidak membuahkan hasil yang sepenuhnya.
Rakyat terkilan
Kedua, rakyat terkilan kerana perkembangan Pakatan Rakyat khususnya
masalah antara PAS dan DAP yang membawa kepada DAP mengumumkan kematian
Pakatan Rakyat.
Ketiga, rakyat-52 terkilan kerana perkembangan semasa yang menghakis
keyakinan rakyat terhadap tadbir urus negara khususnya kejatuhan nilai
ringgit dan skandal 1MDB, tidak memperlihatkan tindakan segera diambil
oleh pemimpin-pemimpin yang selama ini berbicara mengenai bagaimana
tadbir urus negara yang baik harus mendahului "isu hudud".
Perkembangan isu 1MDB kini berada pada tahap di mana wujud beberapa
persepsi. Salah satu persepsi melihat pihak yang membongkar dan pihak
yang terlibat dengan isu 1MDB berkait rapat dengan rejim pemerintah.
Maka isu 1MDB juga merupakan isu satu-satu parti yang memerintah selama
ini, dan jika berjaya ditukar pemimpin parti berkaitan, maka dianggap
selesai isu 1MDB.
Adakah saudara Mat Sabu dan pemimpin GHB setuju dengan persepsi
sedemikian? Apakah kita biarkan seorang individu bernama Tun Mahathir
Mohamad menangani pembongkaran dan penyelesaian satu skandal besar
dengan batasan-batasannya dalam konteks satu-satu parti pemerintah?
Jika tidak, maka saya dengan rendah dirinya mencadangkan, soal tadbir
urus negara yang baik harus mendahului soal hudud wajar diterjemah dalam
tindakan segera oleh saudara Mat Sabu dan GHB sebelum terlambat.
Saya ingin mencadangkan kepada saudara Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin
GHB, supaya menjadikan gerakan massa menuntut pihak-pihak yang
bertanggungjawab dalam skandal 1MDB mengundurkan diri atau dibawa ke
muka pengadilan sebagai keutamaan semasa.
Rakyat perlu pengupayaan yang dapat mengembalikan keyakinan mereka
terhadap perjuangan yang ingin membawa perubahan dan pembaharuan
bermakna kepada negara.
Rakyat juga harus diyakinkan melalui tindakan masyarakat madani dan
pemimpin-pemimpin yang sebelum ini mendapat mandat rakyat atas gabungan
parti bernama Pakatan bahawa isu 1MDB bukan isu satu-satu parti dan
penyelesaiannya hanya melibatkan individu tertentu.
Krisis Malaysia vs krisis PAS
Hal ini bermaksud, rakyat perlu diyakinkan dengan tindakan masyarakat
madani dan pemimpin-pemimpin seperti saudara Mat Sabu dan pemimpin GHB,
bukan tindakan seorang individu bernama Tun Mahathir.
Selepas Aidilfitri, dipercayai masyarakat madani akan cuba membentuk
gerakan massa yang dapat mengembalikan keyakinan rakyat. Di mana
persiapan pemimpin-pemimpin seperti saudara Mat Sabu dan pemimpin GHB
pada saat-saat genting sedemikian?
Datuk Seri Anwar Ibrahim biarpun berada di penjara, beliau tetap
memikirkan masa depan negara yang membimbangkan. Tanggal 14 Julai 2015,
beliau telah membawa mesej penting berbunyi seperti di bawah:
"Kita pernah lalui proses yang sia-sia di mana pimpinan ditukar, tetapi
sistem yang korup dan usang masih tidak berubah. Kita tidak perlukan
penyelesaian sedikit demi sedikit, tetapi komitmen serius kepada
reformasi dan penghapusan rasuah."
Malaysia sedang dilanda krisis. Krisis ini lebih serius daripada krisis
yang melanda PAS. Saya ingin menekankan kepada saudara Mat Sabu dan
pemimpin-pemimpin GHB, supaya menjadikan gerakan massa berkenaan skandal
1MDB dan tuntutan pembaharuan berkenaan skandal 1MDB sebagai keutamaan
semasa.
Menurut liputan berita, kumpulan progresif dalam PAS atau GHB mahu
memulakan gerakan gabungan baru bermula di utara semenanjung selepas
terputusnya hubungan antara PAS dan DAP.
Liputan berita juga mengatakan bahawa saudara Mat Sabu dan pemimpin GHB
akan mengadakan jelajah ke setiap negeri untuk menjelaskan kepada rakyat
mengapa gabungan ini penting dan perlu.
Biarpun saya mendukung usaha saudara Mat Sabu dan pimpinan GHB untuk
meneruskan perjuangan dalam bentuk berlainan, tetapi izinkan saya
mengutarakan sedikit kelainan dari segi pendapat.
Saya berpendapat, realiti semasa menunjukkan, hasrat GHB mungkin tidak
dapat memenuhi harapan semasa rakyat sepenuhnya. Sebelum GHB bergerak
membentuk realiti baru, sewajarnya GHB bergerak memimpin gerakan massa
mengenai tuntutan berkaitan skandal 1MDB dengan kadar segera selepas
Adilfitri.
Sesungguhnya, dalam jelajah ke setiap negeri, saudara Mat Sabu dan
pemimpin GHB wajar menjadikan keutamaan menjelaskan kepada rakyat
mengapa gerakan massa menuntut pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam
skandal 1MDB mengundurkan diri atau dibawa ke muka pengadilan sebagai
keutamaan utama, seterusnya mengemukakan tuntutan pembaharuan pasca
skandal 1MDB.
Saya berpendapat, jelajah berkaitan gerakan massa berkenaan skandal 1MDB
dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pemimpin-pemimpin GHB
terus menerus berpegang kepada prinsip mengangkat isu tadbir urus negara
dan mendahulukan isu kepedulian rakyat.
Hal ini bermaksud, biarpun tewas dalam pilihan raya parti PAS,
pemimpin-pemimpin GHB tidak tersimpang daripada keutamaan selama ini
yang menjadi harapan rakyat.
Malahan, sokongan yang ditunjukkan semasa gerakan massa yang dipimpin
oleh pemimpin seperti saudara Mat Sabu dapat diterjemah sebagai kekuatan
yang diperlihatkan dalam usaha GHB menunjangi perjuangan seterusnya.
Sesungguhnya, kekuatan begini bukan sahaja lebih bermakna dalam usaha
mengisi kekuatan perjuangan bentuk baru, juga dapat mengelakkan tindakan
diri daripada menghampakan rakyat ekoran keutamaan semasa yang tidak
memenuhi tuntutan semasa.
Terima kasih.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat berjuang.
ONG OOI HENG pengarah eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan