Jumaat, 24 Julai 2015

Sumpah bai'ah: Pemimpin GHB tidak boleh buat tafsiran sendiri

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kesemua pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak boleh mentafsir sendiri lafaz bai'ah yang dibuat mereka ketika menerima perlantikan sebagai wakil rakyat PAS, semata-mata mahu 'lepaskan diri' daripada hukum sumpah tersebut.
 
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata kesemua wakil rakyat samada ahli Parlimen atau ADUN PAS perlu merujuk pada yang pakar dan tidak membuat andaian membuta tuli dalam isu serius itu.
 
Ini kerana lafaz bai'ah tersebut melibatkan 'talak tiga' kepada isteri masing-masing dan ia tentunya isu besar dalam arena politik negara.
 
Terdahulu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyatakan pendapatnya bahawa sumpah yang diikrarkan pada 2008 melibatkan 'menceraikan isteri' tidak diperbaharui menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
 
"Khalid Samad mencari alasan supaya dia terkeluar dari konteks bai'ah. Tetapi sejauh mana ia terpakai atau tidak, pada saya ia akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah. Dan mereka akan berdepan dengan situasi yang agak rumit," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Khalid juga mendakwa parti Islam itu sendiri yang bertindak melanggar bai'ah dan lari daripada landasan perjuangan Islam.
 
"Sekarang ini mereka cuba menafsir sendiri apa yang dimaksudkan? PAS sudah tentu tidak melanggari bai'ah. Yang melanggar bai'ah adalah mereka (pemimpin GHB), mereka yang melafazkan akad itu sekaligus mereka tertakluk kepada bai'ah. PAS tidak ada kena-mengena, sebab mereka bukan pihak yang berbai'ah," katanya lagi. 
 
Isu sumpah bai'ah kini menjadi pertikaian di kalangan pemimpin PAS dan kumpulan progresif parti itu yang menyertai GHB.
 
Terdahulu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob mengesahkan bahawa bai'ah talak tiga memang wujud di kalangan wakil rakyat parti itu dan ia bukan perkara main-main.
 
Menyentuh hal ini, Abdullah menyifatkan perkara cerai yang dikaitkan dengan bai'ah itu merupakan 'nilai tambah' yang dilakukan parti berkenaan demi mengekalkan kesetiaan ahli-ahlinya.
 
"Bai'ah dilakukan dalam keadaan suka sama suka. 
 
"Jika nak kata bai'ah itu tidak kena, kita kena lihat di waktu bila mereka mengangkat janji. Bai'ah bukan satu pihak memaksa pihak yang lain, mereka boleh memilih mahu lakukan bai'ah atau sebaliknya. Jadi bila buat bai'ah, mereka kena tanggung risikonya 
 
"Kita sebagai orang luar, nak kata bagus atau tidak, (sedangkan) mereka sudah setuju dengan terma dan syarat bai'ah itu," ujarnya lanjut.
 
Abdullah kemudiannya menambah bai'ah menjadi sebahagian amalan dalam Islam, namun ia tertakluk kepada situasi.
 
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Agus Yusoff menerusi status laman sosial Facebooknya kelmarin menyifatkan sumpah bai'ah sebagai karut.
 
Beliau juga mempersoalkan kewajaran PAS mengikat wakil rakyatnya dengan cara begitu sehingga menjadikan isteri-isteri mereka sebagai cagaran politik.
 
 

Tiada ulasan: