Jumaat, 24 Julai 2015

Sokong jika Harapan Baru sebuah NGO


Harapan Baru


KOTA BHARU - Penubuhan Harapan Baru mencetuskan persepsi berbeza dalam kalangan pimpinan parti politik negara dan pengikutnya.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Kadir berkata, pihaknya menyokong sekiranya Harapan Baru didaftarkan atas kapasiti badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita sokong jika Harapan Baru sebuah NGO tetapi jika parti politik, mungkin kita di peringkat negeri akan mengikut apa yang diputuskan oleh pimpinan parti di peringkat pusat,” katanya.

Ab Aziz mengulas kewujudan Harapan Baru  yang kini dalam proses memulakan siri jelajah yang didakwa terdapat penglibatan pemimpin Pas.

Sementara itu, NGO Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) menerusi Presidennya, Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata, Harapan Baru tidak memberi kesan langsung, mahupun ancaman kepada Pas.

Menurutnya, Harapan Baru dilahirkan daripada kalangan pemimpin yang kecewa dengan keputusan muktamar Pas yang lalu.

“Ia bukan dari akar umbi, masih terlalu awal untuk mengukur sejauh mana gerakan itu akan mewarnai sejarah politik negara.

“Kewujudan Harapan Baru didokong DAP, jelas membuktikan mereka ada agenda lain. Selama ini Pas tenang semasa adanya Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi setelah ketiadaan beliau, perpecahan yang pernah dikatakan itu kini menjadi nyata,” katanya.

Tiada ulasan: