KUALA LUMPUR- Tidak sampai seminggu lagi umat Islam termasuk di Malaysia, akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Awang Selamat dalam kolumnya di Utusan Malaysia berkata malangnya semakin dekat hari lebaran yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan, semakin banyak pula kes kemalangan maut yang dicatatkan.

Malah katanya, saban tahun setiap kali tiba musim perayaan, nahas jalan raya menjadi wayang lama yang diulang siar.

“Kisah kereta atau lori hilang kawalan, terbabas, memasuki laluan bertentangan, merempuh kenderaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan, tidak sempat mengelak kenderaan yang datang ketika cuba memotong lalu bertembung – rata-ratanya berakhir dengan maut atau menemui ajal.

“Lebuh raya dan jalan raya bagaikan pusara tak bernisan.

“Di mana silapnya? Apakah puncanya? Hendak dikatakan tidak ada kempen, setahu Awang sudah berkali-kali diingatkan agar berhati-hati memandu terutama semasa musim perayaan. Maklumlah ketika itu, jumlah kenderaan meningkat mendadak. Semuanya teruja untuk pulang ke kampung,” katanya.

Menurut Awang, walaupun pelbagai operasi dan kempen digerakkan, nahas ngeri dan kemalangan maut tetap berlaku dan seolah-olah tidak lagi dapat dielakkan.

“Dalam hal ini, Awang setuju sangat dengan peringatan Perdana Menteri agar rakyat merancang perjalanan secara teliti terutama ketika mahu pulang beraya.

“Persediaan dari segi fizikal dan mental amat perlu agar pemanduan dapat dilakukan dengan cermat, berhemah dan penuh kesabaran. Maklumlah perjalanan balik kampung yang lazimnya hanya tiga empat jam mungkin memakan masa sehingga berbelas jam gara-gara kesesakan trafik.

“Janganlah hanya kerana kurang sabar, hendak memintas satu dua kenderaan, nyawa dijadikan taruhan,” katanya sambil menasihatkan agar para pemandu ingat kepada keluarga tersayang.