Rabu, 15 Julai 2015

'Sedia pemangku bukan nak halau progresif PAS'

MALAYSIAKINI


 


PAS Selangor tidak berhasrat untuk menghalau sesiapa untuk keluar daripada parti Islam itu, kata pesuruhjayanya Datuk Iskandar Abdul Samad.

Sebaliknya, menurut Iskandar, mereka menyediakan pemangku bagi jawatan yang disandang oleh kumpulan progresif dalam PAS yang menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai persiapan jika berlaku kekosongan.

"Ingin dijelaskan di sini bahawa bukan hasrat kami untuk menghalau sesiapa keluar dari PAS tetapi hanya sekadar membuat persiapan awal sekiranya berlaku kekosongan jawatan.

"Pentadbiran dan perjalanan parti mesti diteruskan. Oleh yang demikian pihak kami perlu membuat persiapan awal jika terdapat mereka yang memegang apa-apa jawatan berhasrat untuk menyertai atau menubuhkan parti baru.

"Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai dan bergiat aktif dalam PAS," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, Naib Presiden PAS itu berkata, pihaknya juga akan berusaha sedaya-upaya mengekalkan ahlinya untuk terus berada dalam PAS.

Bagaimanapun, Iskandar berkata, beliau akan menghormati pendirian mana-mana ahlinya kiranya terdapat ahlinya yang mahu menyertai baru.

Malah, beliau meminta supaya mana-mana pemimpin PAS yang ingin keluar daripada parti itu membuat keputusan segera untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

"Jika terdapat mereka yang bersungguh-sungguh mahu menyertai parti baru, kami akan menghormati pendirian mereka.

"Bagaimanapun, jika mereka seorang pimpinan, mereka juga perlu menghormati ahli-ahli dengan tidak membiarkan ahli tertunggu-tunggu. Satu keputusan perlu dibuat dengan segera untuk kebaikan kedua-dua pihak," katanya lagi.

Semalam, PAS Selangor sudah menyiapkan pemangku bagi jawatan yang disandang oleh kumpulan progresif dalam PAS yang menubuhkan GHB.

Setiausahanya Mohd Khairuddin Othman berkata, arahan untuk mengisi kekosongan itu telah dikeluarkan dan juga sudah ada pengganti bagi jawatan tersebut.

Isnin lalu, kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan PAS bulan lepas mengumumkan penubuhan GHB untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam untuk memperjuang usaha penubuhan gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0”. 


Tiada ulasan: