Sabtu, 25 Julai 2015

Saari belum buat keputusan sertai Harapan Baru

Saari Sungib
Saari Sungib 
 
 
SHAH ALAM – Adun Hulu Kelang, Saari Sungib menafikan laporan bahawa beliau keluar Pas dan menyertai Harapan Baru.

Menurutnya, sehingga Harapan Baru dibentuk sebagai sebuah parti politik baru, beliau akan membuat keputusan sama ada akan menyertainya.

“Sehingga parti (Harapan Baru) itu jadi baharulah saya yakin, buat masa ini saya akan meneruskan tugas dan khidmat sebagai wakil rakyat Pas yang digantung keahlian. Saya tidak mahu timbul sebarang masalah.

“Prinsip saya kalau ada bukti Pas tidak komited untuk menumbangkan Umno-BN dan memacu PR ke Putrajaya, Pakatan Rakyat terpaksa mencari rakan parti baharu yang sedikit pun tidak diragui komitmennya dengan agenda tersebut,” katanya.

Saari turut menegaskan pembentukan Harapan Baru bukanlah niat untuk menguburkan Pas.

Menurutnya, walaupun Pas anggap beliau dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin sebagai pengkhianat, namun pengundi mengiktiraf mereka berdua sebagai wira yang menyelamatkan PR.

“Namun apabila tercetusnya kemelut Menteri Besar Selangor Ogos tahun lalu orang mula ragu, pengundi dan penyokong anggap kami berdua telah selamatkan PR sedangkan Pas kata kami pengkhianat.

“Bahkan Pas juga mulakan tindakan memutuskan kerjasama politik dengan DAP sehingga mengakibatkan PR pupus,” katanya.

Bagaimanapun Saari berkata, Kerajaan Selangor masih tidak muktamadkan bahawa PR sudah berakhir kerana ingin meneruskan khidmat kepada rakyat.

“Sampai bila nak main wayang dengan rakyat? Sebab itu Harapan Baru dibentuk atas dasar prinsip mengukuhkan PR 2.0. Saya beri Pas masa untuk buktikan kesungguhan untuk melawan Umno-BN,” katanya.


Tiada ulasan: